Selasa, 19 April 2016 | 4:08pm

Mereka semua bajet suci - Che Ta

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rozita Che Wan sekali lagi menjadi mangsa kecaman netizen gara-gara mengenakan seluar jeans koyak pada bahagian lutut.

Rozita atau Che Ta memuat naik sekeping gambar dirinya menggayakan seluar denim berkenaan sambil memegang sebuah beg tangan kira-kira 18 jam lalu, namun dalam masa singkat saja ia sudah pun mendapat lebih 800 komen daripada netizen.

Tahun lalu, Che Ta yang juga seorang pengacara dan ahli perniagaan pernah dikecam kerana sehelai jeans 'koyak' pada bahagian lutut serta peha. Mereka berasakan gaya terbabit tidak sesuai dengan imej bertudung wanita berkenaan sekalipun beliau memakai kain pelapik seakan-akan warna kulit.

Dalam kes terbaharu, ada segelintir peminat yang memberikan teguran pedas dan tidak kurang juga yang berfikiran positif.

"Ikutkan, saya malas nak komen. Malah, tiada sebarang isu pun. Lagipun, bukan saya pakai seluar koyak betul-betul pun. Jadi, apa masalah mereka semua ini? Masalahnya, saya rasa mereka semua 'bajet' (berlagak) suci. Jadi, semua orang mereka rasa tidak betul. Cubalah bersangka baik," katanya kepada BH Online.

Che Ta juga perasan sesetengah daripada mereka yang menulis komen itu terdiri daripada kalangan wanita bertudung, tetapi bermulut lancang.

"Cuba balik tengok penulis komen di bawah gambar itu dan lihat profil mereka. Semua kebanyakannya bertudung, tetapi mulut macam mana gayanya? Semua itu mereka tidak nampak. Apa yang mereka nampak hanya pada mata kasar dan luaran orang," katanya.

Sebelum kontroversi seluar jeans itu, baju panas dengan gambar anjing yang dipakai anak kecilnya, Aaisyah Dhia Rana, ketika bercuti di Eropah baru-baru ini juga menjadi topik hangat. Che Ta bagaimanapun mengaku beliau tidak sedar gambar pada baju terbabit dan membelinya kerana cantik selain menggunakan fabrik selesa.

Berita Harian X