Rabu, 20 April 2016 | 4:12pm

Kontinjen olahraga remaja sasar atasi 6 emas

KUALA LUMPUR: Malaysia tekad memperbaiki pencapaian tahun lalu pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2016 yang berlangsung di Thailand selama dua hari bermula Sabtu ini.

Pengurus pasukan negara, A John, berkata biarpun skuad negara sekadar mempertaruhkan 33 atlet remaja bagi kejohanan tahunan itu berbanding 56 atlet tahun lalu, namun dia yakin kontinjen negara mampu mempamer aksi cemerlang.

Jelasnya, Malaysia yang menjadi tuan rumah pada tahun lalu menamatkan saingan di kedudukan kedua keseluruhan dengan mengutip enam pingat emas, 13 pingat perak dan 12 pingat gangsa.

"Meskipun penyertaan kontinjen kali ini lebih kecil berbanding tahun lalu, tetapi saya yakin kontinjen negara mampu memperbaiki pencapaian sebelum ini," katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim.

Harapan terbaik negara disandarkan ke atas bahu atlet wanita Grace Wong Xiu Mei yang memenangi pingat gangsa di Sukan SEA 2015 Singapura serta Zaimah Atifah Zainuddin yang turut mengambil bahagian di pentas sama dalam acara 4x400 meter lari berganti-ganti.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X