Rabu, 20 April 2016 | 8:54pm

Atlet dicabar 'gegar' Thailand

KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail. - Foto Hasriyasyah Sabudin
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Atlet remaja negara yang akan bersaing pada Kejohanan Olahraga Asia Tenggara 2016 di Thailand pada Sabtu dan Ahad ini, dicabar menampilkan prestasi terbaik untuk meraih peluang diserap dalam program 'Kita Juara'.

Cabaran tersebut dilontarkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen berkenaan di MSN, hari ini.

Beliau berkata walaupun prestasi skuad olahraga negara kini tidak begitu memberangsangkan berbanding sebelum ini, sukan itu tetap diberi perhatian oleh MSN.

"Saya berharap ada beberapa keputusan yang akan membolehkan atlet remaja ini dimasukkan ke dalam program 'Kita Juara'. Jadi, buat yang terbaik di Thailand dan tunjukkan bahawa keputusan itu dapat meletakkan anda dalam barisan atlet muda kebangsaan ke Sukan SEA 2017.

"InsyaAllah kita akan masukkan mereka dalam program itu jika menepati kriteria ditetapkan. Mungkin bukan semua, yang lain masih kekal dalam pelapis kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen berkenaan.

Shapawi berkata barisan atlet terpilih dalam program Kita Juara, yang diperkenalkan dalam misi Malaysia untuk muncul juara Sukan SEA 2017, akan mendapat pakej latihan dan program-program sokongan lebih baik daripada MSN.

Kontinjen negara terdiri daripada 33 atlet ke Chanthaburi, Thailand itu menyasarkan sekurang-kurangnya enam pingat emas, jumlah yang diraih pada edisi sebelum ini apabila Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun lalu.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim berkata setiap atlet yang memenangi pingat emas pada temasya itu bakal mendapat insentif RM500, manakala pemenang perak dan gangsa, masing-masing menerima RM300 dan RM200.

"Jika berjaya memecahkan rekod kebangsaan boleh mendapat RM1,000 hingga RM10,000," katanya.

Dalam perkembangan lain, Karim yakin pelantikan bekas pelari jarak jauh Kenya, Samuel Kipsang Krono sebagai jurulatih skuad jarak jauh negara mampu membawa Malaysia kembali mendominasi acara berkenaan.

Karim berkata pemenang pingat gangsa acara maraton Sukan Olimpik 2010 di London itu, yang memulakan tugasnya pada 7 Mac lalu, akan mengenal pasti lebih ramai atlet yang mempunyai bakat dalam acara berkenaan. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X