Rabu, 20 April 2016 | 10:42pm

Keracunan makanan: Kantin asrama sekolah ditutup


KANTIN asrama Sekolah Menengah Sains Batu Pahat diarah ditutup selepas 34 pelajar sekolah berkenaan keracunan makanan. - Foto Syarafiq Abd Samad

BATU PAHAT: Kantin asrama Sekolah Menengah Sains Batu Pahat diarah ditutup selepas 34 pelajar sekolah berkenaan keracunan makanan selepas makan ayam percik yang disediakan pada Selasa malam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat, berkata pemeriksaan dan ujian terhadap sampel makanan yang dilakukan mendapati terdapat unsur pencemaran bakteria pada menu ayam percik yang disediakan untuk makan malam.

Katanya, notifikasi keracunan makanan diterima pada Selasa jam 9.59 malam membabitkan seramai enam daripada 786 orang pelajar dengan gejala loya, muntah, cirit-birit, pening kepala serta demam selepas dua setengah jam waktu makan malam.

"Hasil siasatan lanjut mendapati seramai 28 pelajar mempunyai gejala yang sama menjadikan jumlah seramai 34 pelajar mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

"Punca makanan yang disyaki ialah ayam percik yang dimakan pelajar. "Sebanyak 16 sampel klinikal, lima sampel persekitaran serta empat sampel makanan diambil membawa kepada arahan penutupan kantin atau premis makanan di sekolah berkenaan," katanya. Difahamkan, keadaan semua pelajar terjejas semakin stabil malah ibu bapa mereka turut sudah dimaklumkan. Pihak sekolah juga difahamkan diarahkan membekalkan pelajar dengan makanan daripada pembekal sementara sebelum masalah premis makanan sekolah berkenaan diatasi sepenuhnya.

18 dibaca
Berita Harian X