Khamis, 21 April 2016 | 11:49am

Pekebun getah mengaku tidak bersalah beri rasuah


MOHD Shahrulnizam Lazim (kanan) diiringi anggota SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen di Kuantan. - Foto Zulkepli Osman

KUANTAN: Seorang pengusaha kebun getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap tuduhan memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Shahrulnizam Lazim, 26, dari Ulu Tembeling, Jerantut, dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan Restoran Shaeera, Bangunan MARA, Taman Wawasan, Jerantut, jam 12 tengah hari, pada 19 November 2015, bagi mengelak tindakan diambil ke atas empat pekerjanya warga Myanmar yang menceroboh Taman Negara.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syafinas Shahbudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes akan disebut semula pada 24 Mei ini.

Berita Harian X