Khamis, 21 April 2016 | 1:17pm

PERMATA anjur Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016

PUTRAJAYA: Program PERMATA akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 selama tiga hari bermula 31 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, merangkap Penaung Program PERMATA, berkata persidangan itu antara lain bertujuan memberi penekanan mengenai pentingnya perkhidmatan pendidikan serta intervensi berkualiti kepada kanak-kanak dan remaja merentasi peringkat umur.

"Persidangan ini juga bertujuan memupuk kesedaran masyarakat dan menambah pemahaman mereka terhadap pembangunan pertumbuhan optimum kanak-kanak serta menjadi wadah kepada ketujuh-tujuh bidang PERMATA untuk berkongsi amalan terbaik mereka dalam memastikan setiap bidang mencapai objektif pelaksanaannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 di sini, hari ini.

Persidangan yang bertema 'Children Beyond Tomorrow' itu dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Seramai 15 penceramah terkemuka dari luar negara dan 33 penceramah tempatan dari pelbagai kepakaran dan latar belakang akan berkongsi pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam persidangan berkenaan.

Rosmah berkata, konsep persidangan kali ini akan dilaksanakan dengan lebih bersepadu dan holistik berbanding sebelum ini bagi memberi impak lebih tinggi kepada program PERMATA khasnya dan kepada negara amnya.

"Persidangan kali ini akan menggabungkan kesemua tujuh bidang PERMATA, meliputi PERMATA Negara, PERMATA Pintar, PERMATA Seni, PERMATA Insan, Perkasa Remaja, PERMATA Kurnia dan Hospital Pakar Kanak-Kanak PERMATA," katanya.

Berita Harian X