Khamis, 21 April 2016 | 3:19pm

Media Prima tumpu jana hasil bukan iklan


Datuk Seri Amrin Awaluddin

PETALING JAYA: Media Prima Bhd menyasarkan sumber bukan pengiklanan akan menyumbang 30 peratus kepada pendapatannya dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi.

Pada masa ini, 90 peratus daripada pendapatan syarikat media bersepadu utama di Malaysia itu disumbangkan oleh hasil pengiklanan dengan tumpuan kepada segmen televisyen dan media cetak.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata bermula tahun lalu kumpulan sudah memulakan beberapa strategi yang secara dasarnya adalah untuk menjana pendapatan yang melangkaui hasil pengiklanan.

Pada masa sama, katanya, Media Prima juga berhasrat untuk memperkasakan lagi sumber pendapatannya melangkaui pasaran domestik, yang ketika ini menyumbang sebahagian besar atau antara 95 hingga 99 peratus pendapatan.

"Disebabkan itulah, tahun lalu kami membeli dua stesen radio dan melancarkan program beli belah di rumah CJ WOW Shop baru-baru ini. (Unit media cetak) The New Straits Press Malaysia Bhd (NSTP) pula melancarkan beberapa produk dalam talian baharu sepanjang tahun lalu dan lebih banyak lagi produk akan dihasilkan pada tahun ini.

"Big Tree Outdoor pula berjaya mendapatkan konsesi pengiklanan luar bagi laluan sambungan LRT dari Kelana Jaya hingga Bukit Jalil.

"Secara dasarnya, semua inisiatif berkenaan akan memperluaskan lagi hasil pendapatan Media Prima melangkaui sumber pengiklanan (tradisional) televisyen dan media cetak," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di sini, sebentar tadi.

Turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri FD Iskandar dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima, Mohamad Ariff Ibrahim.

Mengulas lanjut, Amrin berkata Media Prima juga menyasarkan untuk meraih pendapatan daripada pengguna, khususnya menerusi pelancaran portal interaktif tonton VIP.

"Menerusi tonton VIP, kami menjual isi kandungan menggunakan platform dalam talian dan peralatan mudah alih, bermula dari harga RM3. Fokusnya adalah terhadap isi kandungan tempatan kerana itulah kekuatan Media Prima yang mempunyai platform televisyen dan akhbar.

"Kami juga berhasrat mendapatkan isi kandungan serantau bagi dijual kepada pasaran yang kurang diteroka buat masa ini, memandangkan terdapat ramai pekerja asing di negara ini.

"Justeru, Media Prima mahu mendapatkan lebih banyak isi kandungan berita atau siri drama dari negara seperti Nepal, Myanmar dan Filipina, yang mana melalui usaha sedemikian, kami akan berupaya untuk menjana hasil melangkaui sumber pengiklanan," katanya.

Amrin berkata, bagi mengukuhkan sumber pendapatan di luar Malaysia, Media Prima menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat untuk menjual isi kandungan terbitannya ke pasaran luar.

Katanya, ini termasuk kerjasama Media Prima dan iflix, penghasilan penerbitan bersama dengan syarikat televisyen Jepun selain usaha sama yang bakal terjalin dengan Korea Broadcasting Network bagi menghasilkan isi kandungan tempatan yang boleh dijual di luar negara.

"Malah, Media Prima melalui kerjasama dengan Google baru saja melancarkan tiga saluran baharu di YouTube. Ini adalah kerjasama pertama seumpamanya di dunia antara Google bersama sebuah syarikat penyiaran," katanya.

Pada AGM itu, Media Prima turut mengumumkan pemberian dividen terakhir sebanyak lima sen bagi setiap saham biasa untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, menjadikan jumlah dividen yang diumumkan adalah 10 sen setiap saham biasa.

Berita Harian X