Khamis, 21 April 2016 | 5:34pm

Legenda gusti wanita ditemui mati di bilik tidur

LEGENDA gusti wanita WWE, Chyna. - Foto fail AP

CALIFORNIA: Legenda gusti wanita WWE, Chyna atau nama sebenarnya, Joanie Laurer, 46, ditemui mati di kediamannya di Redondo Beach, di sini, kira-kira jam 7.30 malam tadi (waktu tempatan).

Sumber daripada Jabatan Polis mengatakan, mayatnya ditemui di bilik tidur oleh seorang rakan yang datang untuk melihat keadaannya selepas didakwa tidak mendengar khabar mendiang sejak beberapa hari.

Daripada siasatan awal, tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kematian wanita berkenaan, sebaliknya ia disyaki berpunca daripada pengambilan berlebihan ubatan berikutan penemuan botol yang bersepah di pangsapurinya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini bekas ahli gusti yang dikenali dengan tubuh sasa itu bergelut dengan masalah penagihan dadah, malah pernah muncul dalam program Celebrity Rehab pada 2008.

Pada era kegemilangannya di WWE, Chyna pernah bergabung dengan seorang lagi bintang, Triple H, sekali gus menjadi anggota asal D-Generation X dan beliau juga wanita pertama menyertai rancangan berbayar terbitan WWE, Royal Rumble.

Beliau juga pernah muncul dalam majalah Playboy sebelum aktif sebagai bintang televisyen realiti, termasuk The Surreal Life (2005), selain bertukar kerjaya menjadi pelakon filem dewasa antara 2004 hingga 2013 dan tampil dalam enam filem.

Difahamkan, bekas ahli sukan kelahiran New York itu kemudian berhijrah ke Jepun untuk mengajar bahasa Inggeris.

Berita Harian X