Jumaat, 22 April 2016 | 6:36pm

Pandelela, Mun Yee menang gangsa Siri Terjun Dunia


Pandelela Rinong Pamg dan Leong Mun Yee menyumbang pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama di pusingan terakhir Siri Terjun Dunia FINA di Kazan, Rusia, hari ini.

KUALA LUMPUR: Atlet terjun wanita elit negara, Pandelela Rinong Pamg dan Leong Mun Yee menyumbang pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama di pusingan terakhir Siri Terjun Dunia FINA di Kazan, Rusia, hari ini.

Pandelela, yang kembali berganding dengan Mun Yee di gelanggang sama sejak kali terakhir tampil bersama pada Kejohanan Akuatik Dunia, Julai lalu, berjaya mengumpulkan 303.42 mata.

Ini adalah pingat gangsa kedua mereka dalam Siri Terjun Dunia FINA selepas meraihkan pingat pertama di pusingan pembukaan siri yang membabitkan empat pusingan, di Beijing, China, Mac lepas.

Pandelela dan Mun Yee sekadar menduduki tempat keempat dalam dua pusingan sebelum ini di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan Windsor, Kanada.

Sementara itu, gandingan China, Chen Roulin-Liu Huixia muncul juara dengan mengumpulkan 340.50 mata manakala Roseline Filion-Meaghan Benfeito dari Kanada mendapat perak dengan 304.50 mata.

Selepas selesai semua empat pusingan dalam siri itu, gandingan negara sekadar menduduki tempat keempat dengan 78 mata manakala China teratas sesudah mengumpulkan 108 mata.

Pandelela akan meneruskan buruan pingatnya dalam acara 10m platform individu esok. - BERNAMA

Berita Harian X