Sabtu, 23 April 2016 | 12:18am

Pasta spiral sayur-sayuran

PASTA spiral sayur-sayuran dari Anis Magic Finger. - Foto Zunnur Al Shafiq

APABILA sebut mengenai pasta ia seolah-olah sinonim dengan Itali, mungkin kerana umum sedia maklum ia adalah makanan masyarakat negara itu.

Namun, tahukah anda kajian menunjukkan, rakyat Amerika juga menjadikan pasta sebagai hidangan paling digemari.

Ini bukanlah mustahil kerana pasta adalah makanan yang mudah disediakan dan menyelerakan, malah mudah disimpan serta datang dalam pelbagai hidangan dan cita rasa.

Secara saintifik, pasta sudah terbukti boleh membantu mengawal kandungan gula dalam darah, memandangkan kandungan tepung Somalina dikatakan, baik untuk penjagaan kesihatan.

Bukan itu saja, pengambilan pasta didakwa mengandungi bahan boleh membantu mengawal berat badan, sekiranya diadun dengan bahan lain yang sesuai.

Populariti pasta juga menyebabkan kini ia kian menjadi menu pilihan ramai, terutama dalam kalangan masyarakat tempatan sebagai pengganti kepada menu berasaskan nasi.

Jika diambil dengan kadar dan kuantiti yang tepat serta dicampurkan dengan bahan lain yang menambahkan khasiat, sudah tentu ia dapat ia memberikan manfaat kepada kesihatan.

Bahan lain itu termasuklah minyak zaitun, sayur-sayuran, kekacang, ikan dan sebagainya yang boleh melengkapkan lagi khasiat pemakanan.

Bantu bakar lemak

Di samping itu, terdapat juga kajian dari Amerika Syarikat yang menunjukkan, pasta juga didapati boleh mengawal berat badan kerana kandungan karbohidrat yang tinggi.

Karbohidrat adalah salah satu elemen yang membantu membakar lemak, sekali gus dapat menjaga atau menurunkan berat badan.

Begitu juga bahan lain digunakan dalam resipi masakan Itali itu, misalnya tomato bertindak sebagai bahan dapat memperbaiki sel yang musnah, anti oksidan dan mengurangkan risiko kanser.

Sehubungan itu, pengambilan pasta sebenarnya tidak lagi membosankan kiranya ia disediakan mengikut cita rasa sendiri dan penggunaan resipi tepat juga dapat mempertingkatkan manfaat disediakan dalam setiap hidangannya.

Minggu ini, Famili berkongsi resipi pasta spiral sayur-sayuran bersama bebola cendawan disediakan oleh pemilik Anis Magic Fingers iaitu Anis Hartini Haron, 34, bagi memudahkan anda semua mencuba di rumah.

Langkah demi langkah

BAHAN-bahan yang digunakan. - Foto Zunnur Al Shafiq

Bahan-bahan
(A) Pasta sayuran-sayuran
3/4 paket pasta spiral
2 bawang Holland (dicincang)
2 ulas bawang putih (dicincang)
4 tangkai lada kering
4 ekor sotong (potong bulat)
sebatang lobak merah (dihiris)
3 tangkai kacang panjang (potong pendek)
Minyak masak (2 sudu besar)
Garam (1 sudu kecil)
Daun rosemary

(B) Bebola daging cendawan

orengano
1 helai daun basil kering
sus krimer (1 cawan kecil)
susu segar (1 cawan kecil)
garam (1 sudu kecil)
1 tin cendawan butang (dipotong dadu)
8 ketul bebola daging

(A) Cara-cara:

1. Tuangkan minyak ke dalam kuali panas dan tumis lada kering hingga garing dan tumis dengan bawang putih

2. Campurkan pula sotong sudah dipotong bulat biarkan selama 2 minit

3. Lalu, campurkan lobak merah dan kacang panjang sudah dipotong halus. Jangan biarkan bahan-bahan itu terlalu lama.

4. Tuangkan pasta dan gaul hingga sebati kesemua bahan dan letak garam secukup rasa kemudian biarkan dia sejuk.

5. Siapkan bahan-bahan untuk resipi bebola daging cendawan. Kemudian, panaskan minyak.

7. Tumis bawang Holland dan bawang putih sekejap saja kemudian campurkan cendawan dipotong nipis, daun basil kering sehingga naik bau.

8. Tuang secawan kecil susu segar dan krimer kemudian biarkan ia mendidih.

9. Masukkan bebola daging dan reneh hingga masak

10. Siap untuk dihidangkan bersama pasta.

INFO: Tepung Semolina

- Semolina adalah hasil giling kasar dibuat dari gandun terbaik. ia adalah berwarna kuning semula jadi dengan rasa alternatif hebat

- Tepung itu juga dapat menggantikan resipi roti lebih nikmat

- Ia juga sering digunakan golongan profesional untuk menghasilkan kualiti mee, lasagna, fettuccine dan pasta lain sangat enak

Berita Harian X