Sabtu, 23 April 2016 | 11:31am

PM tiba di Melaka lawatan kerja sehari


DATUK Seri Najib Razak diiringi Yang di-Pertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob serta Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron ketika menghadiri majlis bacaan tahlil dan doa selamat sempena 10 tahun pemergian bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba, Peringgit, Melaka. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di sini, pagi ini untuk lawatan kerja sehari ke negeri ini.

Ketibaannya kira-kira jam 10.30 pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Naim Abu Bakar serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Perdana Menteri kemudian menghadiri majlis bacaan tahlil dan doa selamat sempena 10 tahun pemergian bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba, Peringgit pada jam 11 pagi sebelum melawat memorial itu kira-kira 15 minit.

Turut menyertai majlis berkenaan, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah serta anak sulung Abdul Ghafar, Tamrin.

Memorial Tun Abdul Ghafar Baba dibuka secara rasmi oleh Mohd Khalil pada 28 Februari 2006.

Ia dibangunkan bagi memperingati jasa Abdul Ghafar sebagai pemimpin politik yang dihormati dan disanjung rakyat, terutama sumbangannya sebagai antara pemimpin awal memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

Memorial yang terletak dua kilometer dari bandar raya Melaka itu adalah rumah asal Abdul Ghafar dan dibina pada tahun 1956.

Berita Harian X