Sabtu, 23 April 2016 | 2:08pm

Ghafar pemimpin politik tulen - Ku Li


YANG di-Pertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tiga dari kanan) Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (kiri sekali), bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (dua dari kanan), bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam (kanan sekali), Tan Sri Abu Zahar Ujang (dua dari kiri) pada majlis bacaan tahlil dan doa selamat sempena 10 tahun pemergian bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba, Peringgit, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad.

MELAKA: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba sebagai seorang yang lembut hati pemimpin politik tulen dalam perjuangan Melayu.

Beliau berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu terkenal sebagai seorang yang budiman, selain tidak ketandusan cerita lucu.

"Ghafar mencerminkan kegigihan berpolitik dan menjadi urat saraf politik UMNO pada tahun 1980-an yang pada amnya, merangkumi golongan guru Melayu.

"Ketekunannya melaksanakan sesuatu sentiasa mendapat perhatian pucuk pimpinan parti dan dengan sendirinya mempercepatkan kemajuan kerjaya politik beliau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tahlil dan doa selamat sempena 10 Tahun pemergian Abdul Ghafar di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; dan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Selain itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan anak sulung Abdul Ghafar, Tamrin.

Terdahulu, Tamrin ketika mengenang bapanya berkata, Allahyarham ketika hayatnya pernah berhasrat untuk dikebumikan di kediamannya di Peringgit, di sini, yang kini dijadikan Memorial Tun Abdul Ghafar Baba.

"Bagaimanapun, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah mahu Allahyarham dikebumikan di Makam Pahlawan sebagai memberi penghormatan tertinggi sebagai negarawan," katanya.

Berita Harian X