Isnin, 25 April 2016 | 7:50am

Malaysia juara Olahraga Remaja Asia Tenggara


GAMBAR fail, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemenang pingat gangsa sukan SEA 2015, Grace Wong Xiu Mei mewakili atlet negara pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2016 di pejabat Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Khamis pada 20 April lalu. Hadir sama Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim (dua kanan) dan pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin (kiri). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Bangkok yang menutup tirainya, semalam.

Majlis Sukan Negara dalam WhatsApp kepada Bernama berkata, kontinjen Malaysia meraih 13 pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.

Pada kejohanan dua hari itu, skuad remaja negara berjaya mengatasi pasukan tuan rumah yang menduduki tempat kedua dengan 10 emas, 15 perak dan 15 gangsa.

Vietnam meraih tempat ketiga dengan enam emas diikuti Singapura dengan lima emas dan Indonesia tiga emas.

Kelmarin, pemenang pingat gangsa acara lempar cakera wanita Sukan SEA 2015 di Singapura, Grace Wong Xiu Mei mencatatkan rekod baharu kejohanan selepas melakukan lemparan sejauh 40.62 meter.

Kontinjen Malaysia yang membabitkan seramai 33 atlet, menyertai 17 acara kali ini.

Kejayaan itu sekali gus mencatatkan keputusan yang lebih positif berbanding tahun lalu ketika menjadi tuan rumah kejohanan itu.

Pada 2015, Malaysia menamatkan saingan di tangga kedua selepas meraih enam emas, 13 perak dan 12 gangsa. - BERNAMA

Berita Harian X