X
Isnin, 25 April 2016 | 6:36pm
MOHD Azfar Ariff.
MOHD Azfar Ariff.

Sistem sekolah rendah satu aliran elak perkauman

KUALA LUMPUR: Sistem sekolah rendah satu aliran adalah platform berkesan untuk menerap dan memupuk nilai perpaduan kerana ia permulaan proses membentuk pemikiran dan identiti seseorang.

Pertubuhan Sistem Sekolah Satu Aliran Demi Perpaduan (SERAP) dalam satu kenyataan, berkata sekolah rendah adalah antara acuan pertama dalam membentuk individu patriotisme yang tidak rasis.

Pertubuhan itu juga beranggapan, sukar bagi seseorang memahami, menghormati dan mengintegrasikan budaya atau sensitiviti kaum lain sekiranya hanya bergaul dengan rakan sebangsa sejak kecil.

"Bak kata pepatah 'elok acuan, elok hasilnya'. Bagi kami, hala tuju negara bergantung kepada sikap yang ditonjolkan pelapis kepemimpinan negara yang kini masih di bangku sekolah.

"Mentaliti bersatu padu tanpa mengenal kaum perlu diterapkan sejak kecil supaya ia dapat dicapai apabila mereka besar kelak," katanya.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang memperjuangkan sistem sekolah satu aliran, dipengerusikan oleh Shahril Hamdan bersama ahli jawatankuasanya, Idzham Hashim, Mohd Azfar Ariff, Amirul Basiron, Firdaus Samad dan Dr Mohd Rizal Abd Rahman.

Sementara itu, Mohd Azfar berkata, SERAP menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong bahawa sekolah satu aliran di peringkat pendidikan rendah mampu menyatukan semua kaum.

"SERAP menggesa semua pemegang taruh, terutama penggubal dasar tampil mewujudkan sistem sekolah satu aliran di peringkat rendah sebagai wadah permulaan untuk penyatuan kaum pada masa depan."Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kami ingin menghulurkan tangan kerjasama kepada mana-mana organisasi atau individu yang ingin menyebar wacana mengenai sekolah satu aliran sebagai wadah pemangkin perpaduan rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X