Isnin, 25 April 2016 | 7:38pm

Bekalan air di daerah Kerian mungkin dicatu

Anggota polis India berkawal di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Sri Guru Ramdas Ji, di Amritsar, India. - Foto EPA

BUKIT MERAH: Bekalan air untuk kegunaan kira-kira 250,000 penduduk daerah Kerian akan dicatu jika paras air Empangan Bukit Merah jatuh ke paras 5.1 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata berkata penurunan paras air yang ketara pada 5.97 meter hari ini, membimbangkan pihaknya dan penduduk daerah ini kerana ia kejadian terburuk dalam sejarah.

Katanya, jika berterusan tiada hujan, paras air kolam berkenaan dijangka mampu bertahan selama 23 hari sahaja untuk sampai ke tahap 5.1 meter.

"Jika paras air kolam ini jatuh kepada 5.1 meter, seramai 250,000 penduduk daerah ini akan terkesan apabila sumber bekalan air bersih bakal dicatu.

"Bermula 12 April lalu, kita melakukan pembenihan awan namun beberapa kali gagal berikutan pembentukan awan yang tidak sempurna dan pada petang ini proses itu akan dilakukan sekali lagi," katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan takungan berkenaan di sini hari ini.

Zainol Fadzi berkata, pada masa sama pihaknya merancang untuk meningkatkan kedalaman kolam Bukit Merah iaitu dari 8.55 meter kepada 9.9 meter yang menelan kos sebanyak RM200 juta bagi memastikan bekalan air untuk kegunaan mencukupi.

"Berdasarkan keadaan semasa, pihak kami telah menghentikan bekalan untuk kegunaan pertanian namun bagi bekalan air bersih untuk kegunaan penduduk masih diteruskan.

"Sehingga kini kolam ini masih membekalkan sebanyak 120 juta liter sehari kepada dua loji air Gunung Semanggol berbanding 150 juta liter sebelum ini," katanya.

Berita Harian X