Rabu, 27 April 2016 | 12:04am

Islamisasi tidak semestinya Arabisasi

ISTILAH Arab yang kini wujud itu bersumberkan bahasa Arab al-Quran, yakni kitab yang menduduki wibawa tertinggi dalam martabat keilmuan Islam. - Foto hiasan

SALAH faham sering berlaku apabila ada pihak mengatakan jika hendakkan Islam, maka perlulah melakukan Arabisasi.

Secara tersirat, ia memunculkan produk atau karya berwajah Islam yang palsu dan menjadi lambakan dengan unsur Arab diperbanyak supaya tampak lebih pekat Islamisasinya. Kononnya dengan memanipulasi bahasa, maka lebih 'Islami' sesuatu produk dan karya yang dihasilkan itu.

Persoalan ini wajar dirungkai dengan menjernihkan kembali makna Islamisasi. Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas menjelaskan gerak daya Islamisasi memberikan dasar pandangan alam baharu sehingga bangsa Melayu membuang anasir mitos dan tahyul kepada sandaran kewujudan hakiki menerusi cara gaya pemikiran bersifat saintifik serta rasional.

Disebabkan bahasa ialah cerminan akal, ia turut mengalami gerak daya Islamisasi ini. Islamisasi bahasa dapat diperhatikan pada kewujudan istilah utama yang menjadi dasar prasarana pemikiran - dan kumpulan istilah begini digelar sebagai 'peristilahan dasar' ataupun 'istilah kunci'. Biasanya, ia berasal daripada istilah Arab yang dimasukkan ke dalam sesuatu bahasa.

Sumber bahasa Arab al-Quran

Perlu diketahui, istilah Arab yang kini wujud itu bersumberkan bahasa Arab al-Quran, yakni kitab yang menduduki wibawa tertinggi dalam martabat keilmuan Islam. Bahasa Arab dipilih oleh Allah sebagai bahasa wahyu yang menyatakan peri hakikat kewujudan dan kebenaran untuk panduan makhluk sekalian alam.

Ini menjadikan bahasa Arab al-Quran yang baharu ini memiliki sifat sejagat dan meninggalkan fungsi kedaerahan bahasa Arab Jahiliyah. Bahasa Arab baharu inilah yang sebenarnya memberi pengaruh kepada bahasa Islam lain melalui gerak daya Islamisasi itu.

Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud menjelaskan Islamisasi menjadikan sesuatu bangsa Islam yang baharu menjadi umat universal. Sungguhpun berlainan warna kulit dan bahasa pertuturan, umat Islam memiliki kebersamaan kefahaman mengenai konsep asasi Islam dalam ruang lingkup ilmu, akhlak, ibadat serta syariah dengan umat Islam di seluruh dunia.

Kebersamaan ini jelas dan nyata dengan kewujudan istilah Arab al-Quran yang menjadi sebahagian besar perbendaharaan bahasa semua umat Islam. Istilah seperti Allah, rasul, nabi, ilmu, adil, hikmah, dunia dan akhirat sebagai contoh - saling difahami oleh pelbagai bangsa Islam.

Usaha ulama tasawuf, kalam

Gerak daya kemasukan istilah dilakukan dengan cermat oleh pendakwah Islam dari kalangan ilmuwan tasawuf dan kalam yang memilih serta mengislahkan sesuatu bahasa tempatan. Kesatuan bahasa hasil Islamisasi ini menjadikan bahasa umat Islam dalam satu kelompok, iaitu 'bahasa Islam.'

Konsep Islamisasi yang dijelaskan itu perlulah dibezakan dengan kecenderungan Arabisasi yang dipermasalahkan kini.

Akibat kekeliruan konsep Islamisasi sebenar, ia difahami dengan memaksa unsur zahir Arab kepada bahasa Melayu secara samberono. Sikap ini sudah lama disanggah oleh Raja Ali Haji dalam Kitab Pengetahuan Bahasa, yang berasa janggal dengan sikap orang Melayu yang suka meniru zahir gaya cakap orang Arab:

"Janggal pula orang Melayu mengikut telor Arab dengan niat yang bukan mengajukkan seperti menyebut kucing itu kushin dan yang seumpamanya."

Ingatan Raja Ali Haji

Sejak dulu lagi, ilmuwan seperti Raja Ali Haji menjelaskan kedudukan bahasa Arab perlu dicontohi atas sebab keilmuan, seperti katanya:

"Indah makhrajnya atau kena mubalaghah perkataannya atau kerana mengambil pahala yang Maha Besar menyukakan bahasa Arab itu, maka iaitu tiada janggal. Dan lagi, jadi alamat pula keteguhan iman kerana al-Quran al-'Azim diturunkan dengan bahasa Arab jua.

"Dan Nabi segala orang yang beragama dengan Islam pun Nabi daripada bangsa Arab jua, maka mengambil berkatlah segala bangsa orang Islam, berebut-rebutlah mereka itu mengambil belajar bahasa Arab itu, seperti segala 'ajam dan istimewa pula pihak sebelah Sham dan pihak Turk hingga membuang mereka itu akan segala ḥuruf mereka itu yang asal kerana kuat iman mereka itu serta kasihnya akan agamanya hingga banyaklah sudah bahasa Arab yang dipakai pada bahasa mereka itu.

"Khasnya pula beberapa ilmu yang keluar daripada bahasa Arab, seperti ilmu nahu, saraf, bayan, mantiq Ahlu Sunnah Wal Jamaah, bukannya ilmu mantiq yang khas kepada ahli falsafah - maka ia sesetengahnya menyalahi dalil naqli, adanya.

"Dan demikian lagi pula bahasa Arab itu sedikit lafaznya, banyak maknanya dan sedikit hurufnya."

Oleh itu, Islamisasi sebenarnya tidak bermaksud Arabisasi secara sambil lewa. Unsur Arab yang selama ini berada dalam bahasa Melayu masuk dan digunakan secara sedar dan tepat, yakni berdasarkan ilmu. Kecenderungan kini yang kononnya mahu memasukkan unsur Islami dalam bahasa, maka dilambakkan sejumlah perkataan Arab tanpa kerangka keilmuan yang mantap - wajar diambil pengajaran dan dihindari.

Penulis ialah Pengasas-Pengarah Klasika Media dan menghasilkan novel berjudul SMS serta menghasilkan buku ilmiah, Pengantar Ilmu Jawi bersama Dr Kang Kyeoung Seok.

Berita Harian X