Rabu, 27 April 2016 | 12:08am
CONTOH imunisasi measles boleh menyebabkan empat hingga lima peratus penerimanya mengalami demam dan ruam. - Foto hiasan

36,000 tidak ambil imunisasi campak tahun lalu


KUALA LUMPUR: Lebih 36,000 daripada 523,000 kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun yang layak, gagal mendapatkan imunisasi measles (demam campak) dos pertama sepanjang tahun lalu.

Kegagalan itu membuatkan kadar liputan imunisasi berkenaan berada pada tahap 93.07 berbanding sasaran 95 peratus yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Liputan imunisasi yang kurang daripada 95 peratus, boleh membuatkan masyarakat negara ini berdepan kebarangkalian penyebaran virus penyakit cegahan vaksin adalah tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pada tahun 2007, seramai 61,843 daripada 495,187 kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun, gagal berbuat demikian menyebabkan liputan berada pada paras 87.5 peratus.

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Surianie Mohd Hanif

"Walaupun liputan imunisasi measles dos pertama meningkat kepada 93.07 peratus pada 2015, tetapi ia masih kurang dari 95 peratus.

"Aras imuniti kelompok bagi measles ditetapkan pada tahap yang tinggi kerana penyakit ini sangat mudah berjangkit. Data epidemiologi menunjukkan satu kes measles boleh menjangkiti 12 hingga 18 orang lain.

"Dibandingkan dengan rubella hanya lima hingga tujuh orang; Sindrom Penafasan Yang Teruk (SARS) dua hingga lima orang dan influenza kepada dua atau tiga orang sahaja (berdasarkan pandemik influenza 1918). Ia dipanggil kadar infektiviti penyakit," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kadar jangkitan penyakit batuk kokol juga adalah tinggi bagi setiap kes dengan boleh menjangkiti 12 hingga 17 orang lain.

VIRUS measles. - Foto hiasan

Justeru, katanya bagi memutuskan rantaian penyebaran virus atau bakteria dengan kadar infektiviti yang tinggi seperti measles, liputan yang tinggi melebihi 95 peratus amat diperlukan.

"Globalisasi dan pergerakan penduduk dunia memberi risiko perebakan penyakit cegahan vaksin kepada rakyat negara ini. Pada tahun 2011, genotip baru virus measles iaitu D8 telah dibawa masuk oleh warga asing yang datang ke Malaysia.

"Genotip ini kekal berada di Malaysia sehingga tahun 2015 kesan dari liputan imunisasi measles yang rendah, memberi peluang kepada virus merebak disebabkan imuniti kelompok yang rendah," katanya.

Beliau berkata, Malaysia yang telah bebas polio masih menghadapi risiko jangkitan kerana aliran pergerakan penduduk dunia yang pesat.

WARGA asing dari negara yang masih endemik dengan polio boleh menjadi pembawa virus berkenaan. - Foto hiasan

Jelasnya, warga asing dari negara yang masih endemik dengan polio atau rakyat Malaysia yang pulang dari negara tersebut boleh menjadi pembawa virus polio.

"Dua negara yang masih endemik polio ialah Pakistan dan Afghanistan. Pemantauan mendapati banyak negara di benua Afrika mendapat jangkitan semula kerana virus dibawa dari kedua-dua negara ini.

"Sekiranya liputan imunisasi dalam Malaysia tidak mencapai tahap yang ditetapkan iaitu melebihi 95%, kebarangkalian untuk virus terbabit tersebar dalam komuniti kita adalah tinggi," katanya.

Dr Noor Hisham juga tidak menolak kesan sampingan yang disebabkan oleh vaksin, sama seperti ubat-ubatan moden yang lain.

MANGSA virus polio. - Foto Reuters

Beliau berkata, kebiasaannya kanak-kanak akan mengalami kesan sampingan ringan seperti sakit di tempat suntikan atau demam, yang lazimnya akan pulih semula tanpa memerlukan sebarang rawatan.

"Sebagai contoh imunisasi measles boleh menyebabkan empat hingga lima peratus penerimanya mengalami demam dan ruam.

"Namun, kesan sampingannya adalah ringan dan tidak seteruk sekiranya kanak-kanak mendapat jangkitan measles yang boleh menyebabkan komplikasi pneumonia dan kematian," katanya.

Risiko mengalami radang otak atau encephalitis akibat jangkitan measles atau demam campak adalah satu bagi setiap 1,000 kes, berbanding dengan hanya satu dalam sejuta kemungkinan mengalami encephalitis bagi penerima imunisasi measles.

Imunisasi measles dapat mengelakkan kematian sebanyak satu hingga dua orang bagi setiap 1,000 kes measles. Risiko mendapat komplikasi jangkitan adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan risiko mendapat kesan sampingan imunisasi atau vaksin.

ends/

Berita Harian X