Rabu, 27 April 2016 | 7:39am
Pemain Denmark, Line Hansen (kanan) ketika bertemu pemain Mesir, Nadine Shahin pada pusingan kelayakan akhir kejohanan Skuash wanita PSA Dunia Ahad lalu di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Skuasy Dunia: Nadine cipta kejutan

KUALA LUMPUR: Pemain muda Mesir, Nadine Shahin mencatat keputusan mengejut apabila menyingkirkan pemain nombor 16 dunia, Jenny Duncalf pada pusingan pertama Kejohanan Wanita Dunia NAZA PSA di sini, semalam.

Atlet berumur 18 tahun itu yang mara daripada pusingan kelayakan, menang 11-6, 11-7, 11-9 ke atas naib juara edisi 2011, bagi menempah pertemuan dengan rakan senegara yang juga pemain nombor tujuh dunia, Nouran Gohar, hari ini.

Nouran mara selepas menang 10-12, 11-6, 11-5, 11-7 ke atas pemain Perancis, Coline Aumard dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama.

"Saya kehilangan kata-kata. Ini kali pertama saya mara ke kelompok 16 pemain terakhir dalam acara Siri Dunia, apa lagi Kejohanan Dunia," kata Nadine.

"Kemenangan ini cukup bermakna bagi saya tapi ia belum berakhir kerana satu lagi halangan perlu diharungi esok (hari ini)," katanya.

Dua pemain yang kini berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia - pemain nombor dua, Nour El Sherbini dan pemain nombor empat, Camille Serme - turut mara ke pusingan kedua selepas melepasi halangan pertama masing-masing.

Serme menewaskan pemain Hong Kong, Joey Chan 11-9, 11-6, 5-11, 11-4 manakala Sherbini yang juga naib juara dunia 2013, hanya memerlukan 23 minit untuk menewaskan Donna Urquhart dari Australia 11-6, 11-6, 11-6.

JADUAL PUSINGAN KEDUA:

[7] Amanda Sobhy (USA) mln [9] Nour El Tayeb (EGY)

Joelle King (NZL) mln [3] Raneem El Welily

[1] Laura Massaro (ENG) mln Joshna Chinappa (IND)

DELIA ARNOLD (MAS) mln [6] Omneya Abdel Kawy (EGY)

Nadine Shahin (EGY) mln [8] Nouran Gohar (EGY)

[4] Camille Serme (FRA) mln Sarah-Jane Perry (ENG)

[11] Annie Au (HKG) mln [5] Nour El Sherbini (EGY)

[2] NICOL DAVID (MAS) mln [10] Alison Waters (ENG)

(NotA: [ ] kedudukan pilihan)

-- BERNAMA

Berita Harian X