Rabu, 27 April 2016 | 8:00am

Pencegahan awal terhadap masalah sistem penghadaman

Ramai yang tidak menyedari warna dan keadaan najis mampu menterjemahkan tahap kesihatan anda. Biarpun nampak seakan jijik, namun itulah kenyataan yang dapat membantu anda mengetahui apakah masalah yang sedang dihadapi.

Bahkan statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan pada tahun 2012, penyakit penghadaman berada pada kedudukan kelima tertinggi sebagai penyebab kematian dan punca utama ketujuh kemasukan ke hospital.

Lalu tidak hairanlah disebabkan kurang kesedaran mengenai perkara itu, barah sistem penghadaman seakan sudah menjadi penyakit biasa di negara ini. Sebenarnya anda perlu memantau dengan memerhatikan najis anda sendiri.

Terdapat beberapa kriteria yang menunjukkan sama ada najis itu sihat atau tidak. Bagi najis yang menunjukkan sistem penghadaman anda sihat, ia seharusnya berdiameter kira-kira dua hingga lima sentimeter, sepanjang empat hingga lima sentimeter dan berbentuk sosej.

Sebaliknya, jika memiliki ciri seperti lembik, berair, berdarah, kecil dan memanjang seperti pensel atau reben, ia berkemungkinan menunjukkan bahawa terdapat halangan usus, tumor atau lebih teruk lagi, barah kolon.

Diet dan kandungan

Sebenarnya, diet dan kandungan hempedu yang berfungsi mencerna lemak amat mempengaruhi keadaan najis dan warnanya. Sepatutnya najis berwarna coklat muda atau sederhana, panjang yang seragam dan permukaan licin serta lembut.

Tetapi jika ia berwarna hijau, kuning, hitam atau merah terang ia menunjukkan bahawa anda berdepan dengan masalah penghadaman. Jika najis anda berwarna putih, pucat atau kelabu, ia mungkin kekurangan hempedu, sekali gus menunjukkan masalah serius seperti sirosis hepatitis, gangguan pankreas atau saluran hempedu tersumbat.

Di samping itu, apa yang anda makan juga boleh mempengaruhi warna dan konsisten najis anda. Contohnya makan ubi bit boleh membuatkan najis berwarna merah.

Amalkan tabiat pemakanan dan gaya hidup sihat

Sembelit juga antara masalah penghadaman yang sering mengganggu kelancaran pergerakan usus dan menukar fizikal najis anda. Mereka yang menanggung masalah ini mengalami kesukaran membuang air besar dan menyebabkan najis berketul keras dan kering.

Walau bagaimanapun, kekerapan membuang air besar tidak boleh dianggap sebagai pencetus kepada masalah usus anda. Ia berbeza mengikut individu dan selagi tidak menimbulkan masalah ketidakselesaan, anda tidak perlu bimbang.

Berbeza bagi yang mengalami cirit-birit kerana mereka akan membuang najis dengan lebih kerap daripada biasa. Namun, dua situasi itu tidak serius jika boleh diatasi dengan menggunakan ubat atau melakukan perubahan gaya hidup dan pemakanan anda.

Jika anda tidak mahu berdepan dengan masalah berkenaan, amalkan tabiat pemakanan sihat dan gaya hidup aktif. Mengekalkan pengambilan serat harian seperti roti, sayuran, buahan dan kekacang sekurang-kurangnya 20 hingga 30 gram membantu proses penghadaman.

30 minit aktiviti fizikal

Selain itu, meningkatkan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit, lima hari seminggu dapat membantu fungsi penghadaman secara optimum. Ia dapat membantu mengurangkan masa diambil makanan untuk bergerak melalui usus besar.

Minum lapan gelas air sehari juga amat digalakkanmengikut tahap aktiviti dan cuaca. Pengambilan makanan bertapai seperti yogurt, kefir dan minuman susu berkultur seperti VITAGEN juga akan menambahkan bakteria baik dalam sistem penghadaman anda.

Ia membantu mengurangkan pertumbuhan bakteria bahaya dan risiko gangguan usus untuk membuang air besar dengan lebih mudah.

Berita Harian X