Rabu, 27 April 2016 | 7:12pm

BAM wajar senaraikan saya semula - Zulfadli


PEMAIN perseorangan profesional, Zulfadli Zulkifli. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional, Zulfadli Zulkifli menegaskan dia berhak berada dalam skuad negara bagi menghadapi pusingan akhir Piala Thomas, bulan depan memandangkan dia adalah pemain perseorangan ketiga terbaik Malaysia di belakang Datuk Lee Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Bekas juara remaja dunia 2011 itu menyifatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak berlaku adil apabila menyenaraikan dua pemain yang berada di belakangnya berdasarkan ranking dunia - Chong Wei Feng dan Goh Soon Huat.

"Saya harap BAM boleh pertimbangkan semula keputusan mereka. Saya tidak akan minta kalau saya tidak layak secara merit malah saya tidak akan bersuara. Namun, disebabkan saya tahu saya layak secara merit berdasarkan ranking dan saya adalah perseorangan ketiga terbaik negara, jadi kenapa tidak senaraikan saya?

"Perkara ini tidak menjadi isu sehinggalah ada pemain yang menyuarakan pandangannya mengenai siapa pemain yang perlu berada dalam pasukan. Ketika Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Thomas berdasarkan ranking pasukan, mata ranking dunia saya diambil kira, ketika itu saya perseorangan kedua terbaik tetapi sekarang saya tidak disenaraikan.

"Saya juga sudah menandatangani surat tawaran untuk bersama pasukan beberapa minggu lalu dan bersetuju dengan semua syarat BAM tetapi semalam (kelmarin) saya dimaklumkan tidak terpilih. Saya cuba hubungi Morten Frost (Pengarah Teknikal BAM) sejurus selepas itu tetapi dia tidak jawab," kata Zulfadli ketika dihubungi, hari ini.

Bardasarkan ranking dunia Zulfadli menghuni tangga ke-41 diikuti Wei Feng (52) dan Soon Huat (59).

Frost ketika sidang media bagi mengumumkan senarai pemain yang dipilih, semalam menjelaskan Wei Feng dan Soon Huat disenaraikan berdasarkan pengalaman mereka dalam kejohanan berpasukan biarpun masing-masing bergelut dengan prestasi tidak menentu termasuklah Zulfadli.

Acara beregu menyaksikan BAM menyenaraikan gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan pasangan profesional, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong selain Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, England dan Jerman pada Piala Thomas yang dijadual berlangsung 15 hingga 22 Mei depan di Kunshan, China.

Berita Harian X