Rabu, 27 April 2016 | 8:05pm

Badminton Asia: Zulfadli fokus berdepan Chen Long

PEMAIN perseorangan profesional, Zulfadli Zulkifli. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional, Zulfadli Zulkifli seolah-olah mendapat kekuatan luar biasa susulan kekecewaan tidak disenaraikan dalam skuad negara bagi menghadapi Piala Thomas, bulan depan.

Bekas juara remaja dunia 2011 itu melakar kejutan menewaskan pemain ranking ke-17 dunia, Wei Nan dari Hong Kong 21-12, 17-21, 21-18 pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Pusat Gimnasium, Wuhan, China, sebentar tadi.

"Saya hanya turun dengan niat untuk melakukan yang terbaik, saya tidak mahu isu mengenai Piala Thomas menjejaskan fokus saya. BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sudah buat keputusan dan itu adalah kuasa mereka.

"Saya mahu kekal fokus bagi menghadapi lawan seterusnya esok," kata Zulfadli yang berdepan laluan sukar bagi layak ke suku akhir apabila dijadual bertemu pemain nombor satu dunia, Chen Long dalam aksi pusingan kedua esok.

Chen Long mara selepas mencatat kemenangan ke atas pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin 21-4, 21-16.

Sementara itu, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei turut mara selepas menewaskan pemain China, Wang Zhengming 21-16, 21-14.

Pemain nombor dua dunia itu akan bertemu pemenang perlawanan Wong Wing Ki dari Hong Kong dengan pemain Indonesia, Anthony Gitting.

Turut mara ke pusingan kedua ialah beregu profesional, Koo Kie Keat-Tan Boon Heong yang menewaskan pasangan Taiwan, Liao Min Chun-Tseng Min Hao 14-21, 21-15, 21-13 dan bertemu gandingan Jepun Takeshi Kamura-Keigo Sonoda bagi perebutan tempat ke suku akhir esok.

Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei pula tidak perlu bermandi peluh untuk mengesahkan slot ke pusingan kedua apabila lawan mereka di pusingan pertama, Tang Yuanting-Yu Yang dari China menarik diri.

Namun, nasib berbeza dialami dua pemain perseorangan wanita, Tee Jing Yi, Goh Jin Wei dan Ho Yen Mei selain perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang tewas tersingkir di pusingan pertama.

Berita Harian X