Rabu, 27 April 2016 | 11:34pm

UMW Toyota bakal perkenal Alphard, Vellfire baharu

TOYOTA Alphard dan Toyota Vellfire.
TOYOTA Alphard dan Toyota Vellfire.

KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor Sdn Bhd akan mengimport dua model baharu, Toyota Alphard dan Toyota Vellfire dari Jepun bagi menyertai barisan kenderaan Toyota di Malaysia.

Presiden, Datuk Ismet Suki, berkata ramai rakyat negara ini menyukai kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan kerana ia sesuai bagi syarikat korporat untuk membawa tetamu penting dan mereka yang mempunyai keluarga besar untuk keluar bersama-sama.

"Oleh itu, kita memutuskan perlu memasukkan model ini dalam barisan kenderaan kami," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mengenai jaminan kenderaan itu, Ismet berkata, paling penting setiap model yang dijual oleh UMW Toyota didatangkan dengan jaminan penuh lima tahun serta perbatuan tanpa had dan sokongan selepas jualan.

"Ini bermakna pemilik boleh mempunyai ketenangan fikiran dan yakin dengan kualiti sokongan selepas jualan.

"Kami juga akan memastikan syarikat mempunyai bahagian yang diperlukan bagi Vellfire dan Alphard untuk meminimumkan kesulitan kepada pemilik," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, terdapat beberapa perbezaan teknikal yang penting antara kenderaan diimport dan dijual oleh UMW Toyota Motor dengan yang diimport oleh pihak lain daripada peniaga di Jepun.

"Melalui pengalaman, jurutera Toyota mendapati keadaan pemanduan di Malaysia agak mencabar. Keadaan cuaca biasanya panas dan kenderaan melalui perjalanan jarak jauh pada kelajuan tinggi.

"Ini boleh memberi kesan kepada suhu operasi enjin, jadi pengaturcaraan Unit Kawalan Enjin (ECU) biasanya diselaraskan untuk mengekalkan enjin sejuk," katanya.

INFO

* Alphard mempunyai dua varian - Alphard 3.5 Executive Lounge dan Alphard 3.5

* Alphard dijana enjin 3.5 liter V6

* Vellfire didatangkan dalam satu varian

* Vellfire dijana enjin 2.5 liter empat silinder

* Enjin kedua-dua varian dilengkapi sistem Dual VVT-i Toyota untuk prestasi optimum, kecekapan bahan api dan pelepasan yang rendah

Berita Harian X