Khamis, 28 April 2016 | 12:03pm

Zulfadli dakwa BAM tak adil

Zulfadli Zulkiffli - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional, Zulfadli Zulkifli menyifatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak berlaku adil apabila menyenaraikan dua pemain yang berada di belakangnya berdasarkan ranking dunia - Chong Wei Feng dan Goh Soon Huat bagi menghadapi pusingan akhir Piala Thomas, bulan depan.

Bekas juara remaja dunia 2011 menegaskan dia lebih berhak berada dalam skuad negara kerana kedudukannya sebagai pemain perseorangan ketiga terbaik Malaysia di belakang Datuk Lee Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

"Saya harap BAM boleh pertimbangkan semula keputusan mereka. Saya tidak akan minta kalau saya tidak layak secara merit, malah saya tidak akan bersuara.

"Namun, disebabkan saya tahu saya layak secara merit berdasarkan ranking dan saya adalah perseorangan ketiga terbaik negara, jadi kenapa tidak senaraikan saya?

"Perkara ini tidak menjadi isu sehinggalah ada pemain yang menyuarakan pandangannya mengenai siapa pemain yang perlu berada dalam pasukan.

"Ketika Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Thomas berdasarkan ranking pasukan, mata ranking dunia saya diambil kira, ketika itu saya perseorangan kedua terbaik tetapi sekarang saya tidak disenaraikan.

"Saya juga sudah menandatangani surat tawaran untuk bersama pasukan beberapa minggu lalu dan bersetuju dengan semua syarat BAM tetapi semalam (kelmarin) saya dimaklumkan tidak terpilih. Saya cuba hubungi Morten Frost (Pengarah Teknikal BAM) sejurus selepas itu tetapi dia tidak jawab," kata Zulfadli ketika dihubungi, semalam.

Berdasarkan ranking dunia Zulfadli menghuni tangga ke-41 diikuti Wei Feng (52) dan Soon Huat (59).

Frost ketika sidang media bagi mengumumkan senarai pemain yang dipilih, kelmarin menjelaskan Wei Feng dan Soon Huat disenaraikan berdasarkan pengalaman mereka dalam kejohanan berpasukan biarpun masing-masing bergelut dengan prestasi tidak menentu termasuk Zulfadli.

Sementara itu, Frost memaklumkan beliau akan menjelaskan situasi sebenar berhubung keputusan yang dibuat kepada Zulfadli.

"Zulfadli memang ada menghubungi saya dan saya akan menjelaskan kepadanya. Surat yang diberikan kepada Zulfadli bukanlah mengatakan yang dia terpilih tetapi ia surat bagi menjelaskan mengenai syarat yang dia perlu patuhi jika terpilih.

"Saingan Piala Thomas kali ini pastinya berbeza dan saya boleh katakan sekurang-kurangnya lima atau enam negara berpeluang menjadi juara jika hari itu menyebelahi mereka.

"Tanggungjawab perseorangan ketiga sangat penting dan kami pilih berdasarkan pengalaman. Jika keputusan 2-2, kami memerlukan pemain yang boleh turun ke gelanggang dengan fokus yang tinggi. Wei Feng sudah membuktikan dia adalah pemain yang kuat dalam acara berpasukan pada Piala Thomas dan Sukan SEA sebelum ini," kata Frost.

Acara beregu menyaksikan BAM menyenaraikan gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan pasangan profesional, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong selain Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, England dan Jerman pada Piala Thomas yang dijadual berlangsung 15 hingga 22 Mei depan di Kunshan, China.

Berita Harian X