Khamis, 28 April 2016 | 1:32pm

Tourism Malaysia Pahang tawar pakej pelancongan istimewa

LIPIS: Keindahan alam semula jadi dan keistimewaan warisan sejarah di 11 daerah seluruh negeri ini akan digabungkan sebagai pakej pelancongan istimewa terbaru Tourism Malaysia Pahang.  

Pengarahnya, Mohd Faharuddin Hatmin, berkata pengenalan pakej gabungan produk ekopelancongan dan warisan sejarah itu adalah inisiatif untuk mempromosi Tahun Melawat Pahang 2017.

Beliau berkata, ketika ini tiada pakej produk pelancongan seumpama itu disediakan agensi pelancongan di negeri ini, sebaliknya pakej khusus berkaitan alam semula jadi, pulau dan tanah tinggi atau warisan sejarah.

"Bagi tujuan ini, Tourism Malaysia Pahang akan mengadakan bengkel khas bersama agensi pelancongan, pihak berkuasa tempatan dan jabatan serta agensi berkaitan untuk membincangkan secara terperinci pakej pelancongan istimewa ini.

"Kita serius mahu mewujudkan pakej pelancongan istimewa yang menggabungkan khazanah alam semula jadi serta tinggalan sejarah di setiap daerah dan perlu mendapatkan input serta maklumat daripada agensi pelancongan, pemandu pelancong dan pihak berkaitan.  

"Kita sasarkan pakej ini pada Jun supaya dapat mengedarkan risalah mengenainya di semua pintu masuk ke Pahang, selain di hotel, inap desa dan kaunter pusat pelancongan," katanya yang ditemui sempena Program Eksplorasi Warisan dan Eko Pahang 2016 di sini, hari ini.   

Lebih 30 agensi pelancongan, pegawai dan kakitangan Tourism Malaysia dari Selangor, Johor dan Kelantan serta media menyertai program itu di daerah Jerantut, Raub dan Lipis bagi meninjau pusat ekopelancongan dan warisan yang mampu dijadikan produk pelancongan istimewa negeri ini.

Antara program itu, melawat Galeri Mat Kilau di Pulau Tawar, Jerantut, manakala di daerah Lipis pula,  menjejaki warisan Mat Kilau di Kampung Budu di Benta, selain melawat 14 bangunan bersejarah serta eksplorasi gua di Taman Rimba Kenong.   

Faharuddin berkata, pihaknya akan mengadakan bengkel bersama 30 agensi pelancongan yang aktif di seluruh negeri, pihak berkuasa tempatan, pemandu pelancong serta jabatan perhutanan dan agensi kerajaan lain yang berkaitan pada bulan hadapan.   

"Kita juga akan mempromosi pakej pelancongan istimewa ini ke laman sosial bagi menarik pelancong luar negara," katanya.

Berita Harian X