Khamis, 28 April 2016 | 5:36pm

2,325 kes keracunan makanan di sekolah setakat 16 April

KETUA Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Surianie Mohd Hanif
KETUA Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Surianie Mohd Hanif

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menerima 60 laporan keracunan makanan di sekolah seluruh negara membabitkan 2,325 kes bagi tempoh Januari hingga 16 April lalu.

Ketua Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 47 kes dilaporkan di sekolah atau institusi di bawah Kementerian Pendidikan, membabitkan 1,900 warga sekolah dan selebihnya di sekolah bawah agensi seperti MARA, kerajaan negeri serta sekolah swasta.

"Kes di sekolah Kementerian Pendidikan tahun ini meningkat kepada 47 kes berbanding 30 kes tahun lalu, tanpa mengambil kira kes disebabkan Program Susu 1Malaysia. Sebanyak 45 kes kerana makanan disediakan di kantin sekolah atau dapur asrama serta masing-masing satu kes di kelas prasekolah dan makanan dibawa dari luar.

"Keracunan makanan di kantin dan dapur asrama sekolah boleh dielak jika pengusaha memantau kebersihan, mengambil tahu sumber bekalan makanan serta menyelia proses penyediaan makanan mengikut garis panduan yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengingatkan pengusaha agar meneliti rantaian bekalan, khususnya makanan sedia dimakan agar keselamatan makanan terkawal, beliau berkata, pengusaha kantin dan dapur asrama sekolah boleh dikompaun mengikut Peraturan Kebersihan Makanan 2009 jika tidak mematuhi tatacara kebersihan dan keselamatan makanan.

Katanya, pengusaha dan pengendali makanan wajib menghadiri Kursus Latihan Pengendali Makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh kementerian untuk meningkatkan pengetahuan mengenai pengendalian makanan yang selamat.

Dr Noor Hisham berkata, kes keracunan makanan di Sekolah Menengah Sains Tapah, Perak pada 3 April lalu adalah contoh pencemaran silang ketika penyediaan roti jala di mana bakteria dari bahan mentah mencemarkan makanan yang dimasak melalui pengendalian yang tidak bersih.

"Sampel klinikal yang diambil daripada pelajar terbabit mendapati mereka dijangkiti bakteria Salmonella enteritidis. Punca jangkitan dibuktikan daripada sampel roti jala yang juga dikesan positif Salmonella enteritidis yang sama," katanya.

Salmonella enteritidis ialah bakteria yang sering dikaitkan dengan pencemaran najis ayam pada kulit telur dan pengendalian yang tidak bersih. Ia juga boleh berpunca daripada proses penternakan dan pengendalian ayam telur yang tidak mengikuti amalan penternakan yang baik.

Beliau juga mengingatkan pengusaha kantin dan dapur asrama sekolah supaya membeli ais berbungkus dan berlabel dari premis berlesen berikutan cuaca panas melampau ketika ini yang dijangka meningkatkan permintaan bekalan ais.

"Bekalan air bersih mungkin terganggu di sesetengah kawasan. Jadi, pastikan air dididihkan sebelum diminum dan elak kegiatan rekreasi di kawasan paras air rendah kerana dikhuatiri berlaku pencemaran bakteria yang tinggi," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai isu keselamatan makanan, hubungi Pejabat Kesihatan daerah atau Jabatan Kesihatan negeri terdekat atau melalui laman http://moh.spab.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.

Berita Harian X