Khamis, 28 April 2016 | 5:42pm

Operasi kampus baharu KPTM di Bera awal tahun depan


AHMAD Nazlan Idris merasmikan Karnival Pendidikan KPTM Sehati Sejiwa di Dewan Sekolah Menengah Temin, Jerantut, hari ini. - Foto Roselan Abd Malek

JERANTUT: Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) akan membuka kampus baharu di Bera, tidak jauh dari sini, yang dijangka beroperasi pada awal tahun depan, kata pengerusinya, Ahmad Nazlan Idris.

Pembukaan kampus baharu itu, katanya, dapat memberi peluang kepada pelajar luar bandar untuk meneruskan pengajian di peringkat tertinggi. 

Beliau berkata, pihaknya akan menyewa bangunan kedai di kawasan itu sebelum pembinaan kampus sebenar dimulakan yang dijangka siap tiga tahun akan datang.  

"Dalam masa tiga tahun itu, KPTM akan membelanjakan kira-kira RM12 juta bagi menampung kos sewa serta operasi kolej sementara berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pendidikan KPTM Sehati Sejiwa di Dewan Sekolah Menengah Temin, di sini hari ini.   

Ahmad Nazlan berkata, ketika ini, KPTM menawarkan tujuh bidang pengajian, iaitu kejuruteraan, perniagaan dan perakaunan, multimedia kreatif, sains sosial dan kemanusiaan, bio industri dan sains kesihatan serta sains komputer dan teknologi maklumat peringkat diploma dan ijazah.  

Kolej KPTM sedia ada beroperasi di Kuala Lumpur, Bangi, Selangor, Kuantan, Batu Pahat, Johor Bahru, Ipoh, Kota Bahru dan Alor Setar.  

"KPTM berusaha merealisasikan hasrat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk 'membandarkan luar bandar" dengan menjadikan kawasan luar bandar kondusif dengan pelbagai akses dan kemudahan seperti dinikmati penduduk bandar," katanya.   

Katanya, KPTM akan menjelajah kawasan luar bandar melalui karnival pendidikan bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Profesional MARA, GiatMARA, German-Malaysian Institute dan Kolej Komuniti.

Berita Harian X