Jumaat, 29 April 2016 | 12:00am

Waspada pilih pelembap bibir

PELEMBAP bibir atau balsam bibir fungsinya adalah untuk melembap dan menghindarkan bibir daripada pecah atau mengelupas.

Bagaimanapun, kini ada banyak pelembap bibir di pasaran yang membuat keadaan bibir menjadi semakin kering.

Pakar dermatologi dari New York, Dr Rick Mizuguchi, berkata tidak dinafikan memang ada pelembap bibir yang membuatkan bibir bertambah kering.

Beliau berkata, penelitian mendapati, produk perawatan bibir yang mengandungi hyaluronic dan emollients boleh membantu melindungi kulit bibir.

Namun, Dr Mizuguchi berkata, kulit kering dan pecahpecah sebenarnya tidak dapat lagi dilindungi daripada bahaya negatif persekitaran. Terdedah dan terkena sinar matahari dalam jangka panjang, misalnya boleh menyebabkan bibir mengalami kerosakan.

"Faktor ini, sekali gus menyebabkan ada pelembap bibir membuatkan keadaan bibir bertambah teruk. Oleh itu, cari pelembap bibir dengan komposisi humectants yang membantu menggalakkan pengekalan kelembapan untuk memperbaiki kulit terlebih dulu.

"Kemudian, barulah menggunakan pelembap bibir yang dapat mempertahankan kelembapan bibir," katanya.


SAPUKAN pelembap bibir dua kali sehari

Kulit bibir tidak sihat

Bibir yang tidak dijaga dengan baik akan menjadi kering dan pecah-pecah. Masalah ini, tidak jauh berbeza dengan penjagaan kulit wajah atau badan.

Malah, kulit bibir yang kekurangan nutrisi pun mengalami masalah kesihatan, mulai daripada kulit bibir yang pecahpecah dan mengelupas serta boleh bertukar warna pucat atau gelap.

Justeru, untuk membuat kulit bibir menjadi lebih lembap dan lembut, pastikan anda memilih serta menggunakan pelembap bibir yang baik dengan bahan kandungannya boleh membantu melembapkan bibir.

Sebagai panduan, FAMILI berkongsi cara untuk memilih pelembap bibir yang baik, sekali gus dapat memastikan ulas bibir anda sentiasa mekar berseri;

1. Carilah pelembap bibir yang memiliki SPF 15 atau lebih tinggi. Hal ini bertujuan untuk melindungi bibir daripada kerosakan akibat sinar matahari. Penting untuk memilih produk yang melindungi kulit bibir daripada pancaran gelombang ultra lembayung pendek (UVA) dan gelombang ultra lembayung panjang (UVB) supaya ia dapat memberikan perlindungan maksimum.

2. Pelembap bibir yang baik mengandungi zinc oxide iaitu agen topikal yang berupaya menghalang sinar matahari yang boleh merosakkan kulit bibir.

3. Pilih pelembap bibir yang bebas kimia dan tanpa aroma, terutama jika anda memiliki pengalaman alergi atau kulit bibir sensitif terhadap bahan kimia serta haruman sesuatu produk.

4. Elak membeli pelembap bibir yang memiliki rasa kerana ia sering membuatkan anda ingin menjilatnya. Jika ia dilakukan terus menerus, bibir bukannya lembap, sebaliknya menjadi kering.

5. Pilih yang tanpa ada kandungan fenol atau minyak peppermint kerana keduadua bahan ini tidak boleh membantu melembutkan dan melembap kulit bibir dengan maksimum. Fungsi fenol dan minyak peppermint di dalam pelembap bibir adalah untuk membantu proses pengelupasan kulit kering di bibir.

6. Disarankan memilih pelembap bibir yang memiliki kandungan emmolient kerana ia berfungsi secara semula jadi untuk melembapkan dan menjaga kesihatan kulit bibir, sekali gus melembutkan kulit bibir. Bahan itu terdapat pada petrolatum, shea butter, beeswax, minyak jojoba dan minyak badam.

7. Pelembap bibir dengan kandungan synthetic ceramides baik untuk anda yang ada masalah bibir kering dan pecah-pecah. Kandungan synthetic ceramides adalah sejenis lemak yang memiliki kemampuan untuk megembalikan perlindungan bibir terutama daripada sinar matahari, di samping berperanan sebagai tabir suria atau SPF untuk kulit bibir.


MINUM air putih secukupnya

INFO

Tip bibir cantik bibir dan lembap

  • Jangan merokok kerana ia boleh membuatkan bibir jadi kering dan pecah.
  • Pastikan produk perawatan bibir bersifat hipoalergenik iaitu tidak menyebabkan alergi dan tidak mengandung bahan kimia yang kuat.
  • Sapukan pelembap bibir dua kali sehari untuk melembapkan bibir dan mencegah ia pecah.
  • Minum air putih secukupnya.
  • Berhenti menjilat lidah.
  • Jika bibir pecah terasa sakit, jumpa doktor untuk kepastian sama ada ia bukan gejala penyakit lain.
  • Pecah-pecah di sudut mulut boleh jadi petunjuk ia kekurangan riboflavin atau vitamin B.
  • Ada produk perawatan kecantikan boleh menyebabkan bibir pecah. Oleh itu, pastikan produk kecantikan milik anda tidak mengandungi bahan kimia yang kuat.
Berita Harian X