Jumaat, 29 April 2016 | 3:07pm

Skuad hoki lelaki, wanita UNITEN unggul

KUALA LUMPUR: Pasukan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) meraih kejayaan berganda dengan menjuarai kategori lelaki dan wanita edisi pertama Kejohanan Hoki Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA) 2016 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

UNITEN Ace muncul juara kategori lelaki selepas tidak berdepan masalah membenam cabaran UniKL (A) 3-0 sebelum UNITEN Ivy (A) mengetepikan UniKL 8-0 dalam aksi final wanita untuk melengkapkan kemenangan bergaya.

Juara membawa pulang wang tunai RM 1,000, piala iringan dan pingat dengan hadiah disampaikan Presiden MASISWA merangkap Naib Canselor UNITEN, Prof Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha.

Sebanyak 17 pasukan dari institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seluruh negara mengambil bahagian pada saingan edisi pertama itu.

Antara IPTS yang menghangatkan cabaran ialah UNITEN, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), INTEC Education College dan German-Malaysian Institute (GMI).

Kejohanan julung kali dianjurkan MASISWA dengan kerjasama UNITEN selaku Pusat Kecemerlangan Sukan Hoki itu bertujuan mencungkil bakat pemain dalam kalangan pelajar IPTS untuk mewakili majlis berkenaan dalam Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2017.

Sejak kebelakangan ini UNITEN kembali memahat nama sebagai kuasa besar hoki peringkat universiti dan status itu diperkukuhkan dengan kemampuan pasukan wanita mereka menjulang gelaran Liga Hoki Remaja Wanita Kebangsaan 2016.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X