Jumaat, 29 April 2016 | 5:55pm

UMNO, PAS belum letak calon dalam Jawatankuasa Perpaduan

PETALING JAYA: Rabitah Alumni Al Azhar Malaysia (WAAGM) kini menunggu UMNO dan PAS menamakan wakil masing-masing dalam Jawatankuasa Perpaduan yang dicadang sebagai platform penyatuan dua parti orang Islam dan Melayu terbesar di negara ini.

Presiden WAAGM, Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, berkata sebaik dinamakan, usaha penyatuan akan diteruskan oleh jawatankuasa berkenaan.

"Saya percaya mereka akan dinamakan selepas pilihan raya negeri Sarawak.

"Ketika ini, beberapa anggota jawatankuasa dalam kalangan akademik sudah menyatakan persetujuan mereka.

"Antaranya Prof Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Profesor Emeritus Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya," katanya pada sidang media sempena lawatan WAAG ke Mesir minggu lalu di sini, hari ini.

Mutakhir ini, isu kerjasama UMNO dan PAS yang dirintis Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Malaysia (WAAG) ketika Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 hangat dibincangkan dalam kalangan pemimpin kedua-dua parti yang turut mendapat sokongan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebelum ini, BH turut melaporkan cadangan Ketua Kluster Perpaduan Ummah, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff supaya melantik empat pemimpin UMNO dan PAS untuk menduduki Jawatankuasa Perpaduan itu.

Laporan itu menamakan Tan Sri Dr Rais Yatim dan Datuk Dusuki Ahmad mewakili UMNO serta Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Dr Daeng Sanusi Mariok daripada PAS yang disifatkan memiliki pandangan memenuhi tuntutan ke arah perpaduan diharapkan.

Berita Harian X