Jumaat, 29 April 2016 | 11:10pm
ZULFADLI disenaraikan sebagai pemain perseorangan ketiga dalam skuad negara pada kempen Piala Thomas di Kunshan, China. - Foto Goh Thean Howe
ZULFADLI disenaraikan sebagai pemain perseorangan ketiga dalam skuad negara pada kempen Piala Thomas di Kunshan, China. - Foto Goh Thean Howe

Zulfadli lebih layak berbanding Wei Feng, Soon Huat

KUANTAN: Bekas Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah menyifatkan Zulfadli Zulkifli lebih berhak disenaraikan sebagai pemain perseorangan ketiga dalam skuad negara pada kempen Piala Thomas di Kunshan, China dari 15 hingga 22 Mei ini.

Tengku Kamil berkata, keputusan pengarah Teknikal BAM, Morten Frost mengetepikan Zulfadli Zulkifli tidak tepat kerana bekas juara remaja dunia itu menduduki ranking lebih baik berbanding Chong Wei Feng dan Goh Soon Huat.

Katanya, adalah tidak adil untuk mengetepikan peluang Zulfadli yang ternyata memiliki pengalaman lebih luas selepas dinobatkan juara remaja dunia serta beraksi dalam beberapa kejohanan besar.

"Pada pandangan saya, Zulfadli selayaknya beraksi dalam Piala Thomas kerana dia memiliki pengalaman dan rankingnya juga bagus berbanding Wei Feng dan Soon Huat.

"Jika tidak disenaraikan dalam perseorangan ketiga sekalipun, Zulfadli boleh diletakkan selaku pemain keempat untuk mengibarkan cabaran negara pada kejohanan berprestij itu.

"Jangan ada pilih kasih dalam soal pemilihan pemain kerana segala keputusan perlu dilihat secara menyeluruh termasuk ranking dan prestasi semasa," katanya semalam.

Berdasarkan ranking dunia, Zulfadli menduduki tangga ke-41, diikuti Wei Feng (52) dan Soon Huat (53).

Namun, Frost ketika mengumumkan senarai pemain yang diketuai Datuk Lee Chong Wei menjelaskan bahawa Wei Feng dan Soon Huat disenaraikan berdasarkan pengalaman mereka dalam kejohanan berpasukan.

Kelmarin, bekas pemain kebangsaan, Roslin Hashim menyifatkan keputusan BAM tidak menyenaraikan Zulfadli ke Piala Thomas sebagai tidak masuk akal.

"Berdasarkan prestasi semasa, Wei feng, Soon Huat dan Zulfadli sebenarnya lebih kurang sama saja. Jika diberi peluang, saya akan menyenaraikan Wei Feng dan Zulfadli berbanding Soon Huat," kata Roslin yang membantu Malaysia muncul naib juara Piala Thomas edisi 1998 dan 2002.

Berita Harian X