Jumaat, 31 Oktober 2014 | 6:12pm

Lebih 3,000 anggota polis ditempatkan di Bukit Jalil


KETUA Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Rahim (dua dari kanan) dan ketua pasukan Pahang, Razman Roslan bersama Ketua jurulatih JDT, Bojan Hodak (kanan) dan ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan (kiri) pada sidang media Piala Malaysia di Kuala Lumpur hari ini. Perlawanan akhir Piala Malaysia akan berlangsung esok di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Lebih 3,000 anggota polis akan ditempatkan di Stadium Nasional Bukit Jalil esok bagi memastikan pertembungan final Piala Malaysia membabitkan Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) berjalan lancar.

Jumlah itu jauh lebih besar berbanding 2,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan pada final tahun lalu di Stadium Shah Alam dengan tugas dibahagikan kepada mengawal lalu lintas selain keselamatan di dalam dan di luar stadium.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengumumkan untuk menempatkan 2,500 anggota polis namun membuat keputusan untuk menambah jumlah itu hari ini.

"Bagi memastikan keadaan final kali ini berlangsung tanpa gangguan, kita membuat keputusan menambah jumlah anggota yang mengawal keselamatan yang akan mengawal keadaan lalu lintas, keselamatan pemain dan penyokong dalam dan luar stadium, esok.

"Ini juga kerana selain final Piala Malaysia, ada dua majlis besar yang turut berjalan di sini iaitu Perhimpunan Anak-Anak Sarawak Seluruh Malaysia dan perayaan agama Buddha," kata Pengerusi Jawatan Keselamatan FAM, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim pada sidang media sempena perlawanan akhir Piala Malaysia, di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Pengerusi Pengelola Pertandingan Akhir Piala Malaysia, Datuk Afandi Hamzah memohon supaya peminat kedua-dua pasukan mengawal tingkah laku mereka dan datang ke stadium lebih awal untuk mengelak kesesakan.

"Jika boleh, kita mahu lihat final kali ini lancar tanpa sebarang gangguan," katanya.

Pertembungan final Piala Malaysia di antara Pahang dan JDT dijangka hangat dengan 90,000 tiket yang diperuntukkan FAM habis dijual semalam.

Berita Harian X