Jumaat, 31 Oktober 2014 | 6:20pm
KETUA jurulatih JDT, Bojan Hodak (kanan) dan ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan pada sidang media aksi akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. -Foto Osman Adnan

Bojan Hodak mohon maaf kritik padang Bukit Jalil


JURULATIH pasukan Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT), Zainal Abidin Hassan (kiri) dan Bojan Hodak meninjau keadaan padang sempena Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Bojan Hodak hari ini memohon maaf atas kritikannya mengenai keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang disifatkan tidak berkualiti.

Bojan yang hadir pada sidang media sempena perlawanan akhir Piala Malaysia di Bukit Jalil mengakui, kenyataan yang dipetik beberapa akhbar itu adalah terburu-buru dan hanya berdasarkan gambar yang dilihatnya sebelum datang sendiri melihat keadaan padang di stadium berkenaan.

JDT kendaliannya akan bertemu Pahang pada final kejohanan bola sepak berprestij Malaysia itu, malam esok.

"Saya meminta maaf kepada penganjur atas komen saya terhadap keadaan padang yang disiarkan beberapa akhbar sebelum ini.

"Saya hanya melihat gambar mengenainya sebelum ini. Apapun, ia bukanlah isu lagi kerana selepas melihat sendiri keadaan padang, situasinya jauh lebih baik.

"Ia sepatutnya tidak menjadi masalah untuk bermain di atas padang seperti itu dan tahniah kepada pihak penganjur kerana mereka sudah jalankan tugas dengan baik," kata Hodak.

Stadium Nasional Bukit Jalil yang sudah dibaik pulih menjadi gelanggang perlawanan akhir Piala Malaysia selepas Stadium Shah Alam digunakan tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Hodak yang kehilangan dua tonggak termasuk pertahanan kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak dan Nazrin Nawi, mengakui sudah memiliki kesebelasan utama menjelang aksi getir esok.

Berita Harian X