Jumaat, 31 Oktober 2014 | 7:05pm
PROJEK Battersea Power Station. - Foto Salhani Ibrahim

SP Setia yakin fasa ketiga projek Battersea dapat sambutan baik

KUALA LUMPUR: SP Setia Bhd yakin fasa ketiga projek pembangunan Battersea Power Station yang dilancarkan hari ini akan mendapat sambutan baik daripada pembeli.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Voon Tin Yow, berkata unjuran itu adalah berasaskan kepada sambutan menggalakkan pembeli bagi dua fasa projek itu sebelum ini. "Berdasarkan kepada sambutan awal (bagi fasa ketiga), kami amat yakin dapat mengulangi kejayaan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran global projek berkenaan di sini, hari ini. Beliau berkata objektif utama pelancaran global itu adalah untuk menarik perniagaan utama menyertai projek itu.

Rumah di bahagian utara separuh daripada pembangunan fasa ketiga mula dijual di seluruh dunia hari ini.

Voon berkata syarikat itu tidak merancang melancarkan mana-mana pembangunan luar negara baharu kerana ia mahu menumpukan kepada projek Battersea Power Station.

Tapak projek itu dimiliki oleh konsortium pelabur Malaysia yang terdiri daripada SP Setia, Sime Darby dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengurusan pembangunan sedang dijalankan oleh Battersea Power Station Development Company. - BERNAMA

Berita Harian X