Jumaat, 31 Oktober 2014 | 8:12pm

Zainal akui tetap hadapi tekanan


JURULATIH pasukan Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT), Zainal Abidin Hassan (kiri) dan Bojan Hodak meninjau keadaan padang sempena Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Status selaku penyandang juara dan pengalaman beraksi di pentas final Piala Malaysia yang dimiliki ramai pemain Pahang tidak membuatkan jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan mendabik dada.

Malah Zainal yang pernah menjulang piala keagungan bola sepak negara itu bersama Pahang pada 1992 selaku pemain mengakui pemainnya tetap dibebani tekanan ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas final, esok.

"Bermain di final, tekanan itu sentiasa ada. Kerana itu, saya berharap semua pemain dapat mengawal emosi mereka dengan baik kerana kebanyakan mereka pernah beraksi tahun lepas.

"Apa yang saya mahu daripada pemain ialah supaya mereka bermain dengan bersungguh-sungguh dan beri segala-galanya dalam perlawanan ini."

Pahang muncul juara tahun lalu selepas menewaskan Kelantan di final dan ironinya dibimbing jurulatih JDT, Bojan Hodak.

Mengakui JDT memiliki jentera serangan berkualiti menerusi gandingan pemain import, Jorge Pereyra Díaz dan Luciano Figueroa, Zainal begitupun yakin skuad yang dimilikinya memiliki kekuatan setara.

"JDT bukan saja memiliki gandingan penyerang yang agak bahaya, malah mempunyai ramai pemain berpengalaman.

"Jadi saya mahu tegaskan kepada pemain saya mereka perlu lakukan tugas dengan baik kerana bagi Pahang, kerjasama lebih baik daripada permainan individu," kata Zainal yang menyifatkan pasukan yang mampu bertahan dengan lebih baik mempunyai peluang untuk muncul sebagai juara.

Selain tahun lalu, Pahang yang menjuarai Piala FA tahun ini turut menjuarai Piala Malaysia pada 1983 selain 1992.

Berita Harian X