Ahad, 1 Mei 2016 | 5:45pm

MPPD kecewa dilabel kasar

PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) kesal dengan dakwaan pihaknya bertindak kasar dan berniat jahat terhadap penjaja di Pantai Saujana, Batu 4 di sini, seperti yang tersebar di laman sosial.

Yang Dipertua MPPD, Datuk Ab Khalid Mat, berkata dalam kejadian malam kelmarin, penguatkuasa MPPD terlebih dahulu memberi nasihat terhadap dua penjaja bergerak supaya berpindah kerana kawasan itu adalah tempat letak kenderaan awam.

"Kita sudah menyediakan Tapak Khas Penjaja Bergerak tidak jauh dari kawasan itu dan ramai peniaga lain berniaga tanpa masalah di sana, bagaimanapun dua peniaga terbabit berkeras mahu terus berniaga di tempat letak kenderaan awam itu.

"Berikutan itu, langkah menyita perkakas perniagaan mereka terpaksa diambil dan proses itu berlangsung dengan lancar. Namun, isu ini dimainkan oleh beberapa pihak untuk menggambarkan MPPD tidak berlaku adil kepada penjaja," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, isu penjaja bergerak di kawasan itu sudah diselesaikan melalui persefahaman bersama dengan kumpulan penjaja di kawasan itu beberapa bulan lalu dengan majoriti mereka bersetuju berpindah, kecuali dua peniaga terbabit.

Katanya, penjaja bergerak tidak dibenarkan berniaga di kawasan itu bagi mengelakkan masalah kekurangan tempat letak kenderaan bagi pengunjung, selain masalah kesesakan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X