Ahad, 1 Mei 2016 | 8:06pm

NS tekad kekal rekod di gelanggang sendiri

SEREMBAN: Negeri Sembilan akan turun menentang Sabah dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok, dengan misi melebarkan lagi catatan kemenangan sekali gus mempertahankan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri.

Selepas seminggu berehat, pemain skuad Hobin Jang Hobin kini sudah bersedia berdepan Sang Badak dalam misi merealisasikan sasaran kemenangan.

Keyakinan itu disuarakan penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein, yang mahu barisan pemain Negeri Sembilan berjuang habis-habisan bagi memastikan tiga mata berharga dalam genggaman pasukan itu.

Katanya, kemenangan ke atas Sabah amat penting untuk melayakkan Negeri Sembilan bersaing dalam Piala Malaysia selain dapat memperbaiki kedudukan dalam carta liga bagi mencabar pasukan pendahulu, Melaka United (MU).

"Kami akan melayan kunjungan Sabah, Selasa ini (malam esok) seperti biasa dan sama ketika bertemu pasukan lain kerana kami mahukan kemenangan untuk mengesahkan tempat ke saingan Piala Malaysia.

"Biarpun Sabah berada dalam kelompok terbawah carta, tapi kami tidak akan memandang mudah kehadiran mereka kerana sebarang kesilapan pasti boleh membawa padah. Kami melihat Sabah ada kekuatan tersendiri selain sebuah pasukan berpengalaman.

"Malah, rekod Sabah dalam perlawanan terdahulu juga membuktikan mereka boleh melakukan kejutan, justeru kami perlu kekalkan fokus dan turun dengan prestasi terbaik, demi memastikan kemenangan," katanya.

Negeri Sembilan kini menduduki tangga kedua carta liga dengan kutipan 18 mata hasil lima kemenangan dan tiga seri.

Tonggak berpengalaman berusia 29 tahun itu berkata, dia tidak rela rekod tanpa kalah di tempat sendiri dipadamkan Sabah dan oleh itu akan berusaha mempertahankan kubu pasukan daripada dibolosi.

Pemain paling senior dalam skuad bimbingan Gary Michael Phillips itu juga berharap rakan-rakan dapat memberikan komitmen 100 peratus dalam setiap perlawanan liga kerana sasaran utama membawa pasukan bersaing dalam Piala Malaysia dan seterusnya menjulang kejuaraan liga.

Dia bagaimanapun mengakui kekuatan bahagian pertahanan pasukan itu perlu ditingkatkan lagi, bagi mengharungi baki saingan liga musim ini yang semakin mencabar.

"Secara peribadi, saya tidak bimbang dengan jentera serangan tetapi bahagian pertahanan mungkin perlu ditingkatkan lagi untuk menyekat setiap gerakan pihak lawan," katanya yang berjanji untuk beraksi cemerlang dan mempertahankan kubu pasukan.

Berita Harian X