Isnin, 2 Mei 2016 | 12:13am

Cabaran terjemahan karya sastera

PENTERJEMAHAN karya sastera berupaya 'membawa' warna budaya dan citra sesebuah negara yang sangat asing kepada sesuatu bangsa, sekali gus menjadikannya sangat dekat dengan diri rakyat berkenaan.

Berbeza dengan penterjemahan naskhah ilmiah, terjemahan karya sastera membawa cabarannya tersendiri khususnya dalam konteks ekspresi dalam bahasa tertentu seperti dibangkitkan Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Zurinah Hassan.

Zurinah yang karyanya diterjemahkan ke beberapa bahasa termasuk bahasa Inggeris, Perancis, Russia dan Jepun berkata, penterjemahan karya sastera lebih sukar kerana ia mungkin tidak diketahui dan dikenali dalam konteks bangsa lain.

"Misalnya ekspresi 'cantik muka engkau' yang bermaksud melampau, tidak akan membawa makna seperti diingini pengarang sekiranya diterjemah secara terus ke dalam bahasa lain.

"Malahan sesetengah perkakasan yang terkenal di alam Melayu juga tidak mempunyai terjemahannya dalam bahasa lain seperti tampi, sekali gus memberi cabaran yang tersendiri kepada penterjemah," katanya pada Acara Sepetang Sastera: Pelancaran Buku Noivelles de Malaisie di Alliance Francaise de Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terjemahan lebih tebal


SHIH Li Kow (kanan) di majlis perasmian Novel Malaysia yang diterjemahkan kepada bahasa Francis di Alliance Francaise. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kesukaran penterjemahan itu turut mendorong SN, Datuk Dr Anwar Ridhwan mengimbas semula pengalaman ketika novelnya diterjemah ke bahasa Russia sebelum ini.

"Saya agak tertanya-tanya ketika itu kerana hasil karya terjemahan tidak setebal naskhah asal dalam bahasa Melayu. Saya agak hal ini berlaku kerana penterjemah melangkaui ekspresi yang tidak difahaminya," katanya pada acara yang turut dihadiri pengarang, Tash Aw, Saharil Hasrin Sanin dan Shih-Li Kow.

Nouvelles de Malaysie yang diisi dengan karya enam pengarang tanah air yang diterjemah ke bahasa Perancis ialah terbitan yang membabitkan kerjasama MAGELLAN & Cie yang berpangkalan di Paris dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Karya terjemahan Perancis


TASH Aw di majlis perasmian Novel Malaysia yang diterjemahkan kepada bahasa Francis di Alliance Francaise. - Foto Zunnur Al Shafiq

Naskhah setebal 142 halaman itu, mengandungi enam cerpen dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang kemudian diterjemah ke bahasa Perancis yang bergerak daripada kisah masyarakat desa hingga sisi peribadi yang berkait dengan cinta serta keluarga.

Hal itu dikongsi oleh Pengarah Urusan ITBM ketika dihubungi Sastera BH yang menyifatkan penerbitan antologi cerpen itu memberikan pendedahan dalam memperkenalkan budaya, ekonomi dan latar masyarakat di negara ini kepada masyarakat luar.

Naskhah asal dalam bahasa Melayu menampilkan Anwar dengan karyanya Lintah; Zurinah (Bendang Lahuma) dan Saharil Hasrin (Cahaya Tersangat Aneh).

Karya asal dalam bahasa Inggeris pula diisi oleh Tash Aw yang pernah memenangi Anugerah Novel Sulung Whitbread, iaitu The American Brick Problem; Preeta Samarasan (Common Ground) dan Li Kow (Deep Fried Devils).

Berita Harian X