Selasa, 3 Mei 2016 | 7:16pm

Bekalan air berjadual di Mersing, Kota Tinggi

gn4id:13435580

PASIR GUDANG: Bekalan air berjadual hanya dilaksanakan di daerah Mersing dan Kota Tinggi, manakala bekalan air di daerah lain masih seperti biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail, berkata walaupun beberapa loji rawatan air (LRA) di Perlis, Pahang, Kedah dan Perak mengalami penurunan bekalan akibat cuaca panas, belum ada keperluan melaksanakan bekalan air berjadual.

Katanya, SPAN hanya meluluskan permohonan Syarikat Air Johor (SAJ) untuk melaksanakan bekalan air berjadual di Mersing dan Kota Tinggi sejak 18 April lalu selepas mendapati LRA Sungai Gembut dan Lok Heng (Kota Tinggi) serta Empangan Congok (Mersing) mencatat bacaan bawah paras kritikal.

"Bekalan air berjadual bagi Mersing dan Kota Tinggi ialah sehingga 15 Mei ini tetapi jika sumber air terus merosot, mungkin catuan air diteruskan.

"Sehingga kini, SPAN tidak menerima permohonan dari negeri lain untuk melaksanakan bekalan air berjadual," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Empangan Layang, dekat sini hari ini.

Mohd Ridhuan berkata, pemantauan SPAN mendapati Empangan Layang turut mencatat bacaan bawah paras kritikal iaitu 19.58 meter hari ini.

Jika keadaan di empangan berkenaan terus mencatat penyusutan, bekalan air berjadual mungkin terpaksa dilakukan di Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya.

Berita Harian X