Rabu, 4 Mei 2016 | 12:18am
AISYAH dan Indah nafi bergaduh kerana warna rambut. - Foto Surianie Mohd Hanif
AISYAH dan Indah nafi bergaduh kerana warna rambut. - Foto Surianie Mohd Hanif

Aisyah, Indah renggang gara-gara warna rambut?


SERING dilihat meluangkan masa dan memuat naik gambar bersama-sama di laman sosial, keakraban dua bintang kelahiran program Akademi Fantasi (AF), Indah Ruhaila, 29, dan Aisyah Aziz, 22, bukan lagi rahsia.

Hubungan baik mereka boleh diibaratkan seperti adik-beradik, malah Aisyah turut menggelarkan Indah dengan panggilan kakak.

Bahkan, ketika Aisyah menonjolkan imej ranggi dengan mewarnakan rambut berwarna putih kelabu, Indah turut mengambil pendekatan sama apabila memotong pendek rambutnya dan menukar kepada warna ungu gelap.

Justeru, apabila kedua-duanya tidak lagi memuat naik gambar bersama-sama di Instagram masing-masing seperti sebelum ini, wujudlah tanggapan kononnya mereka bergaduh.

"Ramai yang menanyakan kepada kami mengenai isu ini. Tidak tahu bagaimana boleh timbul cerita mengatakan kami bertengkar hanya kerana jarang memuat naik gambar bersama-sama. Biarpun begitu, kami masih lagi berkomunikasi seperti biasa.

AISYAH menonjolkan imej ranggi . - Foto Shiraz Ali
AISYAH menonjolkan imej ranggi . - Foto Shiraz Ali

PENYANYI, Indah Ruhaila pada Majlis Pelancaran Anugerah Pilihan Online (APO) 2016 di Zebra Square. - Foto Adi Safri
PENYANYI, Indah Ruhaila pada Majlis Pelancaran Anugerah Pilihan Online (APO) 2016 di Zebra Square. - Foto Adi Safri

"Jadual kerja yang padat membuatkan kami jarang dapat meluangkan masa bersama. Bukan dengan Kak Indah saja, malah teman AF lain seperti Azhar, Hael, Faizul dan ramai lagi. Saya terikat dengan jadual kerja yang padat.

"Apabila saya cuti, Kak Indah kerja dan begitulah sebaliknya. Ada pula yang mengandaikan kami bertelagah kerana warna rambut yang sama, padahal rambut saya berwarna putih dan Kak Indah pula menukar rambut kepada warna ungu. Lagipun sudah ramai selebriti yang mewarnakan rambut dengan warna sebegitu," katanya kepada BH.

Bercerita mengenai penampilan diri, penyanyi kelahiran Singapura itu berkongsi, beliau sering mengambil risiko dan berani mencuba pelbagai gaya. Menjadikan pelakon Hollywood, Anne Hathaway, sebagai idola, Aisyah turut mengambil inspirasi daripada masyarakat sekeliling.

"Saya tidak pernah melihat diri sebagai seorang yang 'fashionable' kerana saya selesa menggayakan baju-T dan jeans saja sekiranya ingin bersantai. Namun, tidak dinafikan saya menitik beratkan pakaian bagi memastikan penampilan bersesuaian dengan majlis.

"Jika diikutkan, saya mengambil inspirasi daripada patung di pusat beli-belah sebagai rujukan, namun idola saya adalah Anne Hathaway yang sentiasa cantik ke pelbagai acara. Namun, saya juga meminati bintang muda, Zendaya, yang mana fesyennya lain dari yang lain.

AISYAH Aziz tidak menitik beratkan jenama produk diperagakan, sebaliknya memilih apa saja yang cantik apabila digayakan. - Foto Shiraz Yasmine Ali
AISYAH Aziz tidak menitik beratkan jenama produk diperagakan, sebaliknya memilih apa saja yang cantik apabila digayakan. - Foto Shiraz Yasmine Ali

AISYAH Aziz pada Majlis Pengumuman Finalis Anugerah Bintang Popular BH 29 (ABPBH 29) di Balai Berita. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
AISYAH Aziz pada Majlis Pengumuman Finalis Anugerah Bintang Popular BH 29 (ABPBH 29) di Balai Berita. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Mungkin kerana ketinggian dimiliki, ia membuatkan kehadiran saya lebih mendapat perhatian. Begitupun, saya tidak boleh salah memilih pakaian kerana akan kelihatan pelik jika tidak kena gaya," katanya adik kepada Aliff Aziz itu.

Aisyah berkongsi, beliau juga tidak menitik beratkan jenama produk diperagakan, sebaliknya memilih apa saja yang cantik apabila digayakan. Baginya, beliau belum berkemampuan untuk memperuntukkan sejumlah besar wang untuk sesuatu jenama.

Dalam perkembangan terkini, Aisyah tampil dengan single terbaharu berjudul Tanda Tanya. Lagu ciptaan komposer, Omar K, itu menampilkan sesuatu yang berbeza buat peminat Aisyah. Sebelum ini, beliau lebih dikenali dengan lagu berbentuk balada.

"Tanda Tanya adalah pertaruhan terbaharu saya hasil perbincangan bersama komposer dan pihak pengurusan. Jika sebelum ini saya dikenali dengan lagu balada, kali ini saya tampil dengan sesuatu berbeza, namun masih mengekalkan identiti sendiri.

"Saya sebenarnya kurang selesa dengan lagu ini pada mulanya kerana berbeza dengan lagu saya sebelum ini, namun tertarik setelah beberapa kali mendengarnya. Sehingga kini, saya masih mencuba untuk menyanyikan lagu itu dengan lebih baik lagi," kata Aisyah.

Berita Harian X