Rabu, 4 Mei 2016 | 7:46am

Peniaga usah kira untung gred baharu 1 Julai


KETUA Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (dua dari kiri) diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din (kiri) beramah mesra bersama penjawat awam di Taklimat Pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bil 1/2016 Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Awam di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, Isnin lalu. - Foto Sharul Hafiz Zam

TAHUN ini penting kepada penjawat awam seluruh negara kerana mulai 1 Julai 2016, seperti dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju supaya keseluruhan Skim Perkhidmatan dalam perkhidmatan awam dipersetujui untuk disemak semula.

Perkara ini disebut sebagai semakan 252 Skim Perkhidmatan, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, berhubung apa yang diluluskan oleh pihak kerajaan. Ini adalah rasionalisasi Skim Perkhidmatan dan bukan semakan gaji.

Namun, CUEPACS mendapati bahawa ramai penjawat awam terkeliru antara semakan skim dengan semakan gaji. Semakan skim adalah penambahbaikan kelayakan akademik bagi sesuatu perjawatan bagi pengambilan seseorang pekerja yang akan dipilih menjadi seorang penjawat awam.

Semakan gaji bermaksud menyemak kadar upah bagi sesuatu pekerjaan mengikut klasifikasi perkhidmatan dan tanggungjawab dengan mengambil kira persekitaran kos lain termasuk kos sara hidup. Ini tidak pernah diwujudkan oleh kerajaan, antaranya bagi mereka yang memasuki kerjaya penjawat awam dengan menggunakan kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3)

Lapisan kenaikan pangkat adalah di gred 14 atau gred 16, tetapi dengan perubahan baharu ini, lapisan kenaikan pangkat PMR ialah di gred 14, gred 16 dan gred 18. Kedua, penambahbaikan skim bagi mereka yang syarat ambilan masuk untuk menjadi penjawat awam ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau sijil yang setaraf diubah daripada gred 17 ke gred 19.

Bagaimanapun, antara harapan penyandang gred SPM ialah mengharapkan klasifikasi perkhidmatan mereka ditambah baik dengan mengiktiraf sijil tertentu atau berkelayakan Diploma Pentadbiran Awam. Sekurang-kurangnya sebagai Pembantu Tadbir Perkeranian dan Operasi yang akan dinaikkan ke gred lebih tinggi belum mendapat pengiktirafan kerajaan sehingga menimbulkan keluh kesah dan berlarutan bagi kumpulan diklasifikasi dalam penambahbaikan.

Ini adalah perubahan kerjaya baharu bagi kelayakan SPM yang ditingkatkan kepada gred 19, 22, 26 dan 28. Penyandang jawatan ini masih mempunyai potensi untuk ke gred 29 (Diploma) melalui Pelantikan Secara Lantikan (PSL). Namun, harapan mereka amat tinggi untuk kerajaan memperbaiki skim kumpulan ini yang dianggap sebagai pegawai dalam perkhidmatan kerajaan mengikut senioriti dan menjadi tonggak kepada pentadbiran kerajaan.

CUEPACS menyokong kenaikan taraf Skim Perkhidmatan ini untuk melonjak lebih cepat ke gred 29 apabila memenuhi kriteria skim atau satu yang dibenarkan kerajaan.

Kriteria juga bagi mereka yang melebihi SPM/Diploma, klasifikasi perkhidmatan mereka ditambah baik dengan meletakkan mereka dalam gred sama iaitu gred 29 dan menambah kerjaya mereka di gred 40 serta mewujudkan skim yang bersepadu bagi mereka melonjak ke klasifikasi perkhidmatan yang melayakkan masuk ijazah dan kelayakan setaraf atau peperiksaan diiktiraf kerajaan.

CUEPACS ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan kerana membuka pintu yang luas untuk berunding bagi semaksimum kepada perkhidmatan kerajaan, terutama kepada penyandang yang memiliki kelayakan lebih tinggi. CUEPACS berpandangan bahawa penambah baikan pada 2013 (81 skim perkhidmatan) dan 2016 (252 skim perkhidmatan) adalah mewakili 60 peratus sahaja daripada jumlah skim dan penyandang bagi perkhidmatan berkenaan yang ditambahbaik.

CUEPACS mendapati hari ini, ramai antara penjawat awam dan pencari kerja yang memiliki kelayakan lebih tinggi. Namun, kekangan peruntukan penjawat awam yang diwujudkan oleh kerajaan membataskan bilangan sebenar mereka yang layak untuk dipilih menjadi seorang penjawat awam. Sebahagian besar yang dipilih juga mempunyai kelayakan lebih tinggi dan mampu untuk memenuhi pasaran pekerja di sektor swasta.

Cuma, apa yang CUEPACS ingin sampaikan ialah kebimbangan berhubung pemahaman masyarakat, terutama komuniti perniagaan bahawa setiap kali berlakunya kenaikan harga barang juga. Seandainya mereka memahami bahawa perubahan yang berlaku oleh kerajaan ke atas keupayaan perjawatan dan penetapan kadar upah dengan mengambil kira gaji umum RM1,200 diukur melebihi kos sara hidup semakin meningkat.

Justeru, kerajaan harus memastikan bahawa tidak ada komuniti perniagaan yang akan mengambil peluang itu untuk menaikkan harga barang berikutan skim perkhidmatan baharu. Seandainya perkara ini tidak dapat diatasi, CUEPACS bimbang akhirnya akan berlakunya kenaikan harga barangan dan pasaran sehingga menyebabkan kegagalan menyelesaikan masalah menangani kos sara hidup yang terus meningkat.

Kebimbangan juga dilihat dari sudut perubahan dengan kenaikan harga yang semakin mahal tanpa dikawal dan boleh menyebabkan penjawat awam tidak mampu membeli barang di mana-mana pusat bandar di seluruh negara dan terpaksa menyewa sehingga akhir hayat, mahupun terpaksa membeli rumah berpuluh-puluh kilometer dari tempat kerja yang akhirnya akan mengganggu produktiviti kerja, mengalami tekanan emosi serta boleh menimbulkan masalah lain.

Justeru itu, CUEPACS berharap semua pihak dapat memahami usaha bagi transformasi kerajaan ini bukanlah membabitkan satu pihak, tetapi ia akan memberi manfaat sama kepada mereka dalam komuniti perniagaan. CUEPACS juga berharap penjawat awam untuk sama-sama memahami perubahan yang dibuat dan tidak mudah memperkecilkan usaha penambahbaikan ini.

Datuk Azih Muda ialah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan (CUEPACS)

Berita Harian X