Khamis, 5 Mei 2016 | 10:24pm

Bayi 5 bulan mati akibat tersedak susu

Lokasi pusat jagaan bayi dimana seorang bayi perempuan berusia lima bulan mati selepas dipercayai tersedak susu ketika berada di sebuah pusat jagaan di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh. - Foto Nur Saliawati Salberi
Lokasi pusat jagaan bayi dimana seorang bayi perempuan berusia lima bulan mati selepas dipercayai tersedak susu ketika berada di sebuah pusat jagaan di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh. - Foto Nur Saliawati Salberi

AYER KEROH: Seorang bayi perempuan berusia lima bulan meninggal dunia, dipercayai akibat tersedak susu ketika berada di sebuah pusat jagaan di Taman Tasik Utama, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, Farisha Mohd Hasmuni dikatakan dibawa ke Klinik Kesihatan Ayer Keroh oleh pemilik pusat jagaan berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Jurucakap keluarga bayi berkenaan berkata, sebaik dimaklumkan kejadian bapanya terus bergegas ke klinik kesihatan berkenaan sebelum hanya mampu melihat jururawat dan doktor cuba menyelamatkan nyawa anaknya.

Katanya, bayi berkenaan dihantar ke pusat jagaan berkenaan bersama dua lagi abangnya berusia antara tiga dan tujuh tahun sejak Februari lalu.

"Apa yang dimaklumkan semasa arwah dibawa ke klinik oleh pemilik pusat jagaan, dia sudah tidak sedarkan diri selain tubuhnya juga sudah lembik.

"Walaupun sedih dan kecewa dengan kejadian yang berlaku namun pasangan suami isteri ini redha dengan pemergian anak bongsu mereka itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Ramli Din, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X