Sabtu, 1 November 2014 | 9:39pm
PEMAIN Pahang, Dickson Nwakaeme (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 antara JDT dan Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. - Foto Osman Adnan
AKSI pemain JDT, Jorge Pereyra Diaz (kiri) ketika meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Luciano Figueroa pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 menentang Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. Kedudukan separuh masa pertama JDT 2, Pahang 1. - Foto Osman Adnan

Piala Malaysia: JDT mendahului Pahang 2-1

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) bangkit untuk mendahului 2-1 ke atas Pahang selepas berakhir separuh masa pertama final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Apa pun, Pahang yang memiliki pemain yang pernah beraksi di pentas final, tahun lalu, bermula lebih tenang mengawal permainan dan berjaya melancarkan beberapa serangan ke gawang JDT tapi gagal menerjah gol.

Namun, keadaan padang yang licin akibat hujan sebelum permainan dilihat agak merencatkan sedikit gerakan kedua-dua pasukan.

Pahang mengaut peluang awal apabila mendahului seawal minit ke-14 menerusi tandukan penyerang 'besi', Dickson Nwakaeme yang menyambut kemas sepakan percuma Azidan Sarudin.

Pahang memperoleh sepakan percuma itu selepas pemain sayap lincah, R Gopinathan dijatuhkan pertahanan JDT, Mahali Jasuli.

Seakan terdesak dengan jaringan Pahang, JDT pantas mengubah kepantasan permainan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan kapten, Safiq Rahim namun berjaya ditampan pertahanan Pahang.

Perlawanan kemudian bertambah panas yang menyaksikan pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed terpaksa melayangkan kad kuning kepada Jasazrin Jamaluddin kerana mengasari Gopinathan.

Memasuki minit ke-31 permainan, JDT memperoleh jaringan penyamaan menerusi jaringan penyerang import, Jorge Diaz yang tidak mempersia-siakan kekalutan di depan gawang Pahang dengan meledak masuk gol menewaskan penjaga gol, Khairul Azhan.

Selang empat minit, JDT dianugerahkan sepakan penalti selepas kapten Pahang, Razman Roslan memegang bola kawasan penalti.

Penalti disempurnakan seorang lagi pemain import JDT, Luciano Figueroa.

Berita Harian X