Ahad, 2 November 2014 | 1:16am

Kerjasama sepasukan intipati kejayaan Pahang - Zainal


Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan dipeluk Damian Stewart (kiri) selepas Pahang menjuarai Piala Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 antara JDT dan Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. - Foto Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Kerjasama pasukan Pahang diakui jurulatih, Zainal Abidin Hassan faktor utama kemenangan Tok Gajah pada pertemuan final Piala Malaysia dengan menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas final.

Sekalipun terpaksa beraksi 10 pemain ketika perlawanan berbaki lebih 30 minit masa perlawanan dan sepanjang masa tambahan, Pahang berjaya mengikat JDT 2-2 malah mengheret ke penentuan penalti.

Pahang kemudian menang menerusi penentuan penalti 5-3 dengan semua pemain yang ditugaskan berjaya menjaringkan gol.

Dan kegagalan pemain JDT, Norshahrul Idlan Talaha untuk menyempurnakan penalti menyaksikan Harimau Selatan gigit jari.

"Tahniah kepada semua pemain Pahang kerana bermain bermati-matian untuk membawa Piala Malaysia pulang ke Pahang.

"Ini juga menunjukkan kerjasama pasukan ini amat baik kerana sekalipun kami berada dalam keadaan sukar, semua pemain berjaya menampilkan aksi yang baik.

"Kita pernah berdepan situasi seperti ini namun bukan berdepan lawan sukar seperti JDT jadi tahniah kepada semua pemain lain," kata Zainal.

Dalam pada itu, kapten Pahang, Razman Roslan mengakui tindakannya memberikan penalti kepada JDT menambah semangatnya untuk beraksi lebih baik.

Berita Harian X