Ahad, 8 Mei 2016 | 3:39pm
SERAMAI 217 pasangan akan dinikahkan secara serentak dalam majlis anjuran YPKNT pada 14 Mei ini. - Foto NSTP

217 pasangan dinikahkan serentak di Terengganu 14 Mei ini

BESUT: Seramai 217 pasangan akan dinikahkan secara serentak dalam majlis anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu (YPKNT) pada 14 Mei ini.

Majlis itu membabitkan lapan daerah di negeri ini dan akad nikah akan diadakan di beberapa masjid yang telah ditetapkan.

Exco Kesihatan, Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, berkata ia membabitkan 37 pasangan dari daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu (33), Marang (29), Kemaman (27), Dungun (25), Besut (23), Setiu (22) dan Hulu Terengganu (21).

"Ini adalah majlis pernikahan yang terbesar anjuran kerajaan negeri yang diuruskan YPKNT membabitkan 434 teruna dan dara daripada kalangan anak Terengganu," katanya di sini hari ini.

Majlis resepsi bagi pasangan berkenaan pula akan diadakan pada 22 Mei di tempat yang telah ditetapkan di setiap daerah yang akan membabitkan 15,000 jemputan.

Menurut Muhammad Pehimi, bagi memeriahkan majlis perkahwinan pasangan pengantin itu, ada antara resepsi berkenaan akan dihadiri pemimpin tempatan termasuk Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Katanya, majlis akad nikah akan bermula pukul 8 pagi manakala resepsi pula diadakan pada pukul 10.30 pagi.

Semua pasangan akan menerima Sijil Simpanan Premium sumbangan kerajaan negeri dan kad nikah akan diserahkan kepada pasangan pengantin pada majlis resepsi itu. - BERNAMA

Berita Harian X