Ahad, 8 Mei 2016 | 3:52pm

Melaka kurangkan 11 peratus sisa pepejal

ISMAIL (dua dari kiri) melihat pelekat pengasingan sisa pepejal di punca yang ditampal di dalam lif kediaman bertingkat di negeri ini, pada majlis pelancaran promosi prosedur pengasingan sisa pepejal di sebuah pangsapuri di Melaka, Ahad. - Foto BERNAMA

MELAKA: Kerajaan negeri mengurangkan kira-kira 11 peratus daripada sasaran pembuangan dan penjagaan sisa pepejal melalui amalan konsep pengurangan, guna semula dan kitar semula (3R) sejak pelaksanaannya pada 1 September tahun lalu.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman, berkata pelaksanaan itu adalah berdasarkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang diterima pakai di tujuh negeri iaitu Negeri Sembilan, Johor, Kedah, Perlis, Pahang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya) termasuk Melaka.

"Sasaran kita ialah pengurangan 25 peratus dalam tempoh setahun.

"Kita mampu mengurangkan kira-kira 3,000 metrik tan sisa pepejal sebulan di sangkar khas (pengasingan awal) sebelum dihantar ke tapak pelupusan sampah di Sungai Udang.

"Dengan usaha itu, kita dapat mengurangkan pembuangan sisa pepejal sebanyak 11 peratus," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran Promosi Pengasingan Sisa Pepejal di kawasan kediaman bertingkat yang dijalankan serentak di tujuh negeri hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, Zulkifli Tamby Chik; Ketua Operasi Southern Waste Management (SWM) Enviroment Sdn Bhd Melaka dan Negeri Sembilan, Henry Loh serta Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Pasir Mutiara, K Ricky.

Ismail berkata, sebanyak 7,227 surat peringatan mesra dikeluarkan hasil 12,671 lawatan ke kediaman sekitar negeri ini sejak 1 September tahun lalu.

"Kita menempatkan 110 daripada 176 sangkar khas pengasingan sisa pepejal di kediaman bertingkat di negeri ini manakala bakinya akan disediakan dalam tempoh terdekat," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X