Ahad, 8 Mei 2016 | 4:22pm

Komputer, perisian cetak rompak dirampas

RIZQ Fazliana menunjukkan komputer yang dirampas dalam operasi antara 3 hingga 5 Mei lalu. - Foto Dazar Suarman
RIZQ Fazliana menunjukkan komputer yang dirampas dalam operasi antara 3 hingga 5 Mei lalu. - Foto Dazar Suarman

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor merampas 14 set komputer dan 64 perisian disyaki salinan langgaran daripada empat syarikat bernilai RM804,500.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Rizq Fazliana Abd Hamid, berkata rampasan oleh 25 anggota itu adalah hasil pemeriksaan ke atas empat premis berkaitan industri kejuruteraan, makanan dan pembinaan di Kulai, Tebrau serta Pasir Gudang antara 3 hingga 5 Mei lalu.

"Tindakan ini adalah hasil pemantauan dan risikan selama sebulan oleh pengadu, Business Software Alliance (BSA), mewakili tuan punya hak cipta perisian itu.

"Dalam tindakan operasi itu, pasukan operasi merampas 14 set komputer termasuk satu komputer riba mengandungi 64 perisian disyaki salinan langgaran," katanya pada sidang media di pejabat KPDNKK di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Katanya, ia adalah rampasan terbesar ke atas perisian cetak rompak tahun ini selepas serbuan di premis Kulai pada 3 Mei lalu dengan rampasan bernilai RM402,500.

Berita Harian X