Ahad, 8 Mei 2016 | 8:59pm

Khairul di tempat ke-14, Adam tercicir MotoGP Perancis

ADAM Norrodin (kiri) dan Khairul Idham Pawi.

LE MANS, Perancis: Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi menduduki tempat ke-14 pada saingan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Perancis di Litar Le Mans, di sini, sebentar tadi.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan pelumba pasukan Honda Asia ini meraih dua mata untuk meletakkan dia pada kedudukan kesembilan keseluruhan dengan mengumpul 29 mata.

Begitupun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin apabila gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit kemalangan pada pusingan pertama.

Bermula di petak kesembilan, cubaan Khairul Idham untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan lebih baik tidak menjadi kenyataan.

Ini berlaku apabila dia sekadar melepasi garisan perlumbaan 13.907 saat (s) di belakang pemenang, Brad Binder dari pasukan Red Bull KTM Ajo.

Bagi Adam, ketika dia terus bergelut, rakan sepasukannya dari pasukan Drive M7 SIC Racing, Jakub Kornfeil menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan.

Rakan sepasukan Khairul Idham, Hirako Ono dari Jepun juga gagal menamatkan perlumbaan.

Binder menamatkan perlumbaan dengan catatan 41 minit 31.041 saat diikuti pelumba VR46, Romano Fenati (+0.099s) manakala pelumba Estrella Galicia, Jorge Navarro melengkapkan kedudukan podium.

Berita Harian X