X
Isnin, 9 Mei 2016 | 12:31am
AKRAM Afif. - Sumber Twitter / AlSaddSC
AKRAM Afif. - Sumber Twitter / AlSaddSC

Pemain muda Qatar cipta sejarah sertai Villareal

DOHA: Penyerang muda dari Qatar bakal menjadi pemain pertama dari negara itu beraksi dalam La Liga dan mungkin di Liga Juara-Juara, selepas diikat oleh kelab Sepanyol, Villarreal.

Perpindahan Akram Afif disahkan menerusi Twitter kelab asalnya, Al Sadd, iaitu pasukan yang pernah disertai bekas bintang Barcelona, Xavi Hernandez.

"RASMI : #AlSadd & @VillarrealCF bersetuju mengenai perpindahan Akram Afif ke kelab Sepanyol," menurut tweet berkenaan.

Dalam satu kenyataan di laman webnya yang ditweet semula oleh Afif, Villarreal juga mengesahkan pada dasarnya satu perjanjian sudah dicapai.

Pemain berusia 19 tahun yang dilahirkan di Doha itu tidak asing lagi dalam bola sepak Sepanyol selepas bermain untuk pasukan remaja Villarreal dan Sevilla.

Sejak 2015, Afif pernah bermain untuk KAS Eupen , pasukan milik warga Qatar yang bersaing dalam divisyen dua Belgium.

Eupen dimiliki warga Qatar yang juga pemilik Aspire Academy.

Beliau sudah membelanjakan berjuta-juta ringgit dalam usaha untuk membangunkan bintang muda dari negara itu sejak sedekad lalu.

Afif adalah seorang daripada produk Aspire. - AFP

Berita Harian X