Isnin, 9 Mei 2016 | 6:24am

Soal Jawab: Cari penawar sakit sebelum bertawakal

Soalan; Suami saya sakit jantung tetapi tidak mahu berubat kerana katanya itu adalah ketentuan Ilahi. Bolehkah dia berbuat demikian?

Jawapan; Haram dan berdosa seseorang yang ditimpa penyakit menolak untuk berubat kerana dia telah melemparkan dirinya ke kancah kebinasaan seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah kamu melemparkan diri kamu ke dalam kehancuran." (surah al-Baqarah, ayat 195)

Perkara itu akan menjadi lebih teruk lagi apabila seseorang mendakwa bahawa segala penyakit yang dialami sebahagian daripada ketentuan Ilahi yang perlu dibiarkan. Perbuatan itu seakan-akan menyalahkan Allah SWT yang telah menguji pesakit dengan musibah.

Semua dakwaan itu adalah tidak benar dan satu persepsi yang bercanggah dengan akidah serta syariat Islam. Persepsi sedemikian perlu diubah dan diperbaiki supaya kita tidak dipersoalkan di akhirat kelak.

Perlu diingatkan bahawa beriman dengan qada dan qadar adalah wajib ke atas setiap mukmin. Namun, ia tidak bererti kita tidak perlu berusaha mencari penawar. Oleh sebab itu Nabi SAW sendiri telah bersabda: "Tidak ada sesuatu penyakit yang diturunkan oleh Allah SWT kecuali bersamanya juga terdapat kesembuhan." (Riwayat al-Bukhari)

Terdapat juga peristiwa pada zaman Baginda Nabi SAW, Usama ibn Sharik telah terdengar sabda Nabi SAW sebagai jawapan kepada soalan seorang Badawi (orang kampung) mengenai berubat. Sabda Baginda SAW: "Ya, wahai hamba-hamba Allah sekalian berubatlah. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberikan kepada kamu penyakit kecuali terdapat bersamanya penyembuh (penawar) kecuali satu penyakit. Sahabat bertanya: Apakah satu itu ya Rasulullah? Jawab Baginda SAW: Tua." (Riwayat Ahmad)

Justeru, saya nasihatkan suami puan supaya mencari penawar dengan pelbagai kaedah kerana ia adalah arahan Baginda SAW. Sekiranya usaha telah dilakukan, maka bakinya serahkan kepada Allah SWT dengan bertawakal.

* Penulis ialah pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Berita Harian X