Isnin, 9 Mei 2016 | 11:04am

Bank Rakyat tingkatkan kerjasama dengan Takaful Ikhlas


Pengerusi Bank Rakyat, Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal Abidin. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat hari ini menjalin kerjasama dengan Takaful Ikhlas Bhd bagi memenuhi keperluan pelanggan untuk perlindungan takaful.

Menerusi kerjasama itu, Takaful Ikhlas akan menjadi pengendali takaful bagi perlindungan kepada pelanggan Bank Rakyat.

Pengerusi Bank Rakyat, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, berkata Bank Rakyat sudahpun menjalin kerjasama dengan Takaful Ikhlas menerusi pemasaran produk syarikat takaful itu bagi pembiayaan kenderaan bertempoh dan takaful motor, Gadaijanji Ikhlas Takaful (MRTT) bagi pembiayaan perumahan serta Takaful Amani untuk perlindungan kemalangan diri.

"Sebenarnya, kedua-dua entiti sudah menjalin kerjasama sejak 10 tahun lalu menerusi jalinan yang merangkumi infrastruktur, perundangan, proses, prosedur, pemantauan dan khidmat sokongan.

"Kerjasama berterusan ini diharap akan membantu kami meluaskan asas pelanggan terutama dalam kalangan pekerja sektor swasta iaitu antara satu daripada sasaran perniagaan kami," katanya di sini, pagi ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Ab Latiff Abu Bakar.

‎Bagi inisiatif itu, Kempen Beli Rumah Dapat Kereta diperkenalkan kepada pelanggan Bank Rakyat yang berpeluang memenangi pelbagai hadiah istimewa bernilai RM200,000.‎

Berita Harian X